
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Pengambilan khas 18,702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) secara sekali gus atau `one-off’ bagi mengisi kekosongan guru di sekolah diberikan keutamaan kepada graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Radzi Jidin, berkata calon yang dilantik secara tetap dengan Gred DG41 juga perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan, padanan kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Katanya, temu duga bertujuan menilai kompetensi umum seperti sikap, penampilan diri, pengetahuan am dan kecekapan fungsi seperti kandungan mata pelajaran serta pedagogi.
“Jika bilangan calon yang berjaya dilantik daripada kalangan graduan berlatar belakang pendidikan belum mencukupi, SPP akan melaksanakan kaedah lantikan secara ‘perkhidmatan dalam kontrak’ daripada kalangan calon yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan,” katanya menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) Dewan Rakyat, hari ini.
Sabri meminta kerajaan memberitahu kriteria utama pemilihan kira-kira 18,000 orang guru dan menyatakan keperluan sebenar kekosongan guru di seluruh negara.
Radzi berkata, mengikut data sehingga 19 September lalu, terdapat 21,564 kekosongan di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seluruh negara dan berdasarkan pengambilan secara `one-off’, baki kekosongan sebanyak 2,862 jawatan akan diisi melalui proses lantikan biasa secara berterusan oleh SPP.
Katanya, urusan pengambilan PPP adalah di bawah bidang kuasa SPP dan yakin dengan pengambilan secara one-off, isu kekurangan guru yang berlanjutan sejak bertahun lalu akan dapat diselesaikan. – HARAKAHDAILY 20/9/2021




















