
BENTONG: Pertubuhan Kebajikan Khadijah Bentong telah menerima 100 pek bakul makanan yang disumbangkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada satu majlis serahan di Maahad Tahfiz Dar Al Abrar, di sini kelmarin.
Pengarah YADIM Pahang, Ustaz Mohammad Hazmi Dibok yang hadir bersama rombongannya menyerahkan bakul makanan tersebut kepada Pengerusi dan Setiausaha Khadijah Bentong, Roslin Mohd Jidin dan Yusma Yusof.
Sumbangan ini mensasarkan agihan kepada warga yang terjejas COVID-19, selain untuk kalangan muallaf serta asnaf miskin, orang kelainan upaya (OKU), sakit, warga emas, armalah dan anak yatim yang ringkas disebut MOSWAY.
Menurut Roslin, agihan akan dilaksanakan Khadijah Bentong pada kali ini lebih kepada sasaran sumbangan yang tertumpu kepada penerima di dalam kelompok MOSWAY ini di mana turut terjejas akibat COVID-19.
“Kami sentiasa berusaha membantu apa termampu dan berharap agar tiada mana-mana pihak yang terlepas pandang untuk kami santuni dan berikan sumbangan,” ulas Roslin.
Senada dengan pengerusinya, Yusma Yusof berkata, masih ramai warga Bentong yang ingin dibantu dan disantuni, tetapi kerana faktor kekangan ekoran pandemik ini, Khadijah Bentong akur meminimumkan pergerakan.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), usaha Khadijah Bentong juga agak terbatas tetapi bantuan tetap berjaya dihulur dan diserahkan kepada setiap penerima.
“Insya-Allah, kami akan cuba memberi khidmat bakti terbaik kepada masyarakat biarpun terpaksa bertatih dan merangkak perlahan-lahan,” ujar Yusma.
Khadijah Bentong berfokus kepada usaha dan gerak kerja kebajikan membantu masyarakat khususnya kaum wanita, warga emas dan kanak-kanak melangkaui sempadan bangsa dan agama.
Rombongan YADIM Pahang turut disertai ahli jawatankuasanya, Sharifah Fathin Addina Syed Talib, Nur Aisyah Azman dan Dr Mohd Amirul Mukmin Abdullah, manakala Khadijah Bentong turut dihadiri Ahli Jawatankuasanya, Saniah Abdullah.
Para dermawan yang berminat untuk turut sama membantu golongan terkesan pandemik ini boleh salurkan sumbangan terus ke akaun Maybank 5561 3206 4039 Pertubuhan Kebajikan Khadijah Bentong. – HARAKAHDAILY 17/9/2021




















