Kejayaan Langkawi penanda aras buka destinasi pelancongan lain

- Advertisement -

LANGKAWI: Kejayaan gelembung pelancongan Langkawi yang bermula semalam bakal menjadi penanda aras pembukaan destinasi-destinasi pelancongan lain di negara ini dalam masa terdekat.

- Advertisement -

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rantaian sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 terutamanya peniaga kecil dan sederhana diharap dapat menikmati manfaat daripada pembukaan gelembung pelancongan itu.

“Walaupun kita telah lengkap divaksin dan diberikan beberapa kelonggaran, saya berharap kita semua dapat terus patuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

“Alhamdulillah saya berpeluang memantau dan melihat sendiri persediaan pembukaan sektor pelancongan domestik di Langkawi seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Sempena sambutan Hari Malaysia semalam kerajaan membuka sector pelancongan di Langkawi, sehingga mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong dari seluruh negara.

Bagaimanapun kehadiran pelancong perlu mengikuti SOP ketat termasuk melakukan ujian saringan sebelum bertolak ke pulau peranginan tersebut.

Muhyiddin berkata, Langkawi merupakan destinasi pertama yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan oleh MPN sebelum ini.

Menurutnya juga ketika kunjungan semalam beliau mengikuti taklimat disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi Nasaruddin Abd Mutalib.

Selain itu menyertai majlis dialog bersama wakil-wakil Pengusaha Hotel, Pengusaha Homestay, Pengusaha Kereta Sewa dan Pemandu Teksi.

Hadir bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Dr Santhara Kumar.

Kata Muhyiddin pada dialog tersebut beliau menerima beberapa memorandum daripada wakil-wakil pengusaha industri pelancongan.

Kata beliau juga majoriti pengusaha hotel dan homestay merayu kerajaan memberikan mereka ruang dan insentif bagi membangun semula industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan pada 2019, sektor ini menyumbang sebanyak 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Bagaimanapun berikutan penutupan sempadan negara dan Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan sektor tersebut antara yang paling terjejas teruk.

Menurutnya di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sejak Mac 2020, lebih RM249.7 juta dimanfaatkan rakyat dan sektor perniagaan di Langkawi.

Antaranya, Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) sebanyak RM19 juta diberi kepada 24,058 penerima dan Program Subsidi Upah sebanyak RM182.3 juta kepada 1522 majikan yang memberi manfaat 31,852 pekerja.

Sebanyak RM386,500 juta diberikan kepada 773 pemandu teksi dan bas,
manakala sejumlah RM35,400 membantu 59 pengusaha inap desa.

“Besar harapan saya agar kejayaan pembukaan gelembung pelancongan Langkawi ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pembukaan destinasi gelembung pelancongan dengan selamat dan teratur,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -