LADA sasar 400,000 pelancong ‘Langkawi Tourism 2021-2022’

- Advertisement -

LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan seramai 400,000 pelancong menerusi program Langkawi Tourism Recovery Plan (T-REC) 2021-2022 dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, sasaran itu berpandukan data kemasukan pelancong pada hari pertama pembukaan semula sektor pelancongan Langkawi semalam.

Katanya, LADA optimis jumlah ketibaan pelancong tersebut setelah Langkawi mencipta sejarah sebagai destinasi pelancongan pertama yang dibuka bagi menerima ketibaan pelancong domestik di bawah program gelembung pelancongan (travel bubble).

- Advertisement -

Penerbangan pesawat jenis Boeing 737-800 MAS membawa penumpang sebanyak 159 dari Kuala Lumpur tiba Langkawi, semalam.

Pada hari pertama pembukaan, dianggar sekitar 3200 pelancong akan tiba ke Langkawi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Jeti Penumpang Kuah.

Penjualan tiket bagi kedua-dua kategori pengangkutan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong tempatan.

“Dianggarkan sekitar 2200 orang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala kira-kira 700 orang tiba melalui Jeti Kuah.

“Ini adalah kelegaan besar kepada pemain industri pelancongan di Langkawi yang rata-ratanya sudah bersedia untuk menyambut ketibaan pelancong,” kata Nasaruddin pada kenyataan, di laman sosial LADA.

LADA juga menjangkakan berlaku penambahan jumlah penerbangan dan feri ke Langkawi, namun kemasukan pelancong masih dalam keadaan terkawal dan sentiasa dipantau supaya tidak mengundang kesesakan.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor pula berkata, kerajaan negeri menyambut baik pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan LADA akan diterus bagi memastikan Langkawi dapat terus dibuka dengan amalan normal baharu.

“Pihak berkuasa digesa membuat pemantauan dan penguatkuasaan supaya kejayaan Langkawi sebagai destinasi travel bubble tidak dipertikaikan pada masa hadapan,” katanya ketika sambutan ketibaan pelancongan semalam.

Hadir sama pada program di Jeti Kuah Menteri MOTAC Dato’ Seri Nancy Sukri, anggota Exco dan pegawai kanan LADA.

Berdasar jadual seramai 709 pelawat tiba melalui jeti Kuah dengan menaiki tiga feri. Feri pertama tiba dengan 86 penumpang, feri kedua 290 penumpang dan feri terakhir membawa 333 penumpang.

Sementara itu Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP)
mengadakan program pembersihan awam di lokasi tumpuan ramai sebagai persiapan menyambut ketibaan pelancong beberapa hari sebelum ini.

Antaranya pembersihan sepanjang Pantai Chenang yang dianjurkan LADA dengan kerjasama MPLBP, SW Corp, E-Idaman, MAWILLA, Bomba dan beberapa NGO.

Program berkenaan dirasmikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

MPLBP menyediakan peralatan dalam mengecat untuk mengecat ‘road kerb‘ di sepanjang jalan Pantai Chenang sempena program berkenaan.

Selain itu, kerja-kerja pembersihan juga diadakan sejak minggu lepas termasuk di kawasan-kawasan yang bukan di bawah selenggaraan MPLBP bagi menyambut pelancong. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -