Nadir Al-Nuri kongsi situasi Covid-19 di Gaza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman melahirkan kesyukuran kerana telah selesai menerima dos pertama vaksin Covid-19.

“Alhamdulillah, 1st dose Moderna selesai untuk saya dan seluruh staf Wisma Malaysia semalam (kelmarin),” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Beliau juga berkongsi situasi Covid-19 di Gaza kerana ramai yang bertanya perkara itu.

- Advertisement -

Menurutnya, situasi Covid-19 tidaklah terlalu membimbangkan memandangkan pergerakan keluar masuk penduduk dari Gaza sangat terhad bermakna penyebaran jangkitan dari luar minimal.

Katanya, semasa perang 11 hari Saiful Quds, prosedur operasi standard (SOP) diringankan kerana penduduk meletakkan keutamaan menyelamatkan nyawa daripada roket dan bom serta menyelamatkan nyawa mangsa perang.

Beliau berkata, selepas perang SOP masih diringankan kerana penduduk terlalu sibuk membangunkan semula Gaza.

Ketika perang, ujarnya Kementerian Kesihatan yang sebelumnya mengiklankan jumlah positif Covid-19 setiap hari beralih mengiklankan jumlah syuhada yang terkorban dan cedera setiap hari.

Walau bagaimanapun, jelas beliau saf solat di masjid sehingga kini masih lagi dijarakkan.

“Hari ini SOP mula diketatkan semula bila mana kebenaran masuk ke sebahagian pusat membeli belah diwajibkan memakai topeng, pegawai kerajaan dan pemilik premis perniagaan juga diwajibkan mengambil vaksin,” jelas beliau.

Malah, katanya kerajaan mengambil inisiatif membuat cabutan bertuah untuk mereka yang mengambil vaksin untuk menggalakkan penduduk mengambilnya sehingga setiap hari, puluhan ribu penduduk dapat divaksin.

Beliau berkata, jenis vaksin yang ada sama ada Sputnik, Pfizer, Moderna dan lain-lain bergantung kepada sumbangan dari negara yang memberikannya kepada Palestin.

“Di Gaza, akibat kejahilan sebahagian kecil penduduk takut untuk mengambil vaksin atas alasan kesan kepada kesihatan tetapi tidak pernah kedengaran orang menolak vaksin kerana takut ia agenda Illuminati dan Freemason, apatah lagi projek Yahudi dan WHO untuk membunuh umat Islam,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -