Apa menteri PAS buat untuk urusan hal ehwal agama?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sudah tujuh hari Kabinet baru dibentuk, apa yang menteri PAS sudah lakukan untuk urusan hal ehwal agama?” ujar Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, menteri, timbalan menteri dan semua agensi sekarang sedang sibuk melakukan libat urus dengan semua pihak dalam merangka Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 atau ringkasnya Piagam-C19.

Menurutnya, seperti yang dijanjikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, Piagam C-19 itu akan dilancarkan dalam tempoh 10 hari dengan memberi tumpuan khusus kepada perancangan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas fizikal, mental dan kewangan akibat pandemik.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan, di bawah tema ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Covid-19’, Inisiatif Mantap yang menggariskan lima strategi akan menjadi panduan gerak kerja pihak agensi iaitu pemantapan mental, jasmani dan rohani, pemantapan sistem Pendidikan Islam, pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam, pemantapan institusi masjid dan surau dan pemantapan sosio ekonomi ummah.

Ahmad Marzuk menerusi hantaran di laman Facebooknya semalam, turut menjelaskan aspek syariah dalam lima inisiatif Mantap.

Pertama, kata beliau Senator Idris daripada awal lagi sudah memberikan komitmen untuk meneruskan polisi-polisi yang baik di bawah portfolio hal ehwal agama dengan mengambil kira ruang-ruang untuk penambahbaikan.

Katanya, dalam fasa pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19, sudah tentulah hal-hal berkaitan dengan undang-undang Syariah akan ditumpukan kepada isu-isu yang memberi kesan secara terus kepada rakyat seperti kes-kes mahkamah yang bersangkut paut dengan institusi kekeluargaan.

“Oleh itu, saya meletakkan setinggi-tinggi kepercayaan kepada JAKIM sebagai agensi peneraju yang akan menyelaras semua 14 agensi agama Islam dalam memandu Piagam-C19 termasuklah dalam aspek Syariah,” ujarnya.

Tambahnya, dalam keadaan masih ramai rakyat yang bergelut dengan tekanan hidup, semua perlu saling tolong-menolong sebagai satu Keluarga Malaysia.

“Agensi-agensi agama di bawah Persekutuan akan meneruskan tekad untuk membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan dengan pelaksanaan yang lebih kemas dan tersusun, insya-Allah,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -