Saran turunkan lagi harga kit ujian kendiri COVID-19

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Kerajaan diharap dapat mengurangkan lagi harga runcit maksimum bagi setiap kit ujian kendiri COVID-19 kerana ia masih pada kadar membebankan rakyat terutama kepada golongan yang perlu kerap menggunakannya.

ADUN Beserah, Andansura Rabu berkata, beliau menyambut baik harga baharu yang dihadkan kepada RM19.90 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) daripada asal RM30 hingga RM40 sebelum ini.

- Advertisement -

“Saya menyarankan agar kerajaan khususnya melalui Kementerian Kesihatan dan KPDNHEP agar mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan lagi harga tersebut.

“Saya juga menyeru orang ramai memastikan kit ujian yang dibeli mempunyai pengesahan daripada pihak-pihak berkuasa berkaitan, termasuk penjualan atas talian yang terdedah kepada penipuan seumpama,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang turut berharap agar kerajaan mengambil langkah sewajarnya membendung penjualan kit tiruan di pasaran oleh pihak mahu mengaut untung mudah.

Andansura berharap langkah kawalan harga yang diambil oleh pihak kerajaan akan membantu menangani kemungkinan berlakunya penipuan tersebut, selain langkah-langkah lain perlu diambil oleh penguat kuasa perundangan.

Tegas beliau, kit ujian kendiri COVID-19 itu kini menjadi antara keperluan penting kepada awam dalam membantu memudahkan proses pengesanan dan pengawalan jangkitan wabak tersebut, sekali gus mengurangkan beban petugas kesihatan.

“Kit ini dijangka menjadi salah satu alat keperluan dalam penjagaan kesihatan seperti kit-kit ujian kesihatan lain. Ia seiring dengan situasi negara yang dijangka memasuki fasa endemik pada Oktober nanti.

“Ia juga selaras usaha kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa di negara ini mendapat vaksin dalam tempoh itu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/9/2021

- Advertisement -