Jatuh dalam gaung, 6 jam berendam dalam air

- Advertisement -

KUALA KRAU: Tragedi berlaku yang hampir meragut nyawa itu telah 30 tahun berlalu, namun kesannya akan kekal sepanjang hayat dan sentiasa kuat dalam ingatan Zawawi Zakaria, 62 yang menetap di J.17, di sini.

- Advertisement -

Kemalangan menimpa beliau yang menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong itu masih segar di dalam ingatannya sehingga hari ini dalam kejadian yang berlaku di Parit Buntar, Perak sekitar tahun 1990.

Ceritanya, kejadian bermula apabila rakan beliau ingin menunjuk dan mengenalkan jalan-jalan yang perlu dilalui sebuah lori, dengan hasrat memudahkan urusan jika kelak beliau dikurniakan rezeki bekerja sebagai pemandu lori.

Namun, malang tidak berbau apabila tayar lori dinaikinya meletup dan menyebabkan lori tersebut terbabas dan jatuh ke dalam gaung yang digenangi air sementara kakinya pula dihempap besi.

“Saya terpaksa menunggu bomba selama 6 jam untuk memotong besi yang menimpa kaki. Namun apakan daya kaki kiri saya tidak dapat diselamatkan akibat terlalu lama berendam di dalam air sehingga menyebabkan daging dan tisu kaki saya rosak,” ujar Zawawi.

Beliau memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana masih dikurniakan rezeki umur yang panjang dan merakamkan penghargaan kepada ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim kerana mengunjunginya.

Ustaz Shahril ketika ziarah itu telah menyumbangkan sebuah motosikal bertujuan memudahkan urusan pergi balik ke masjid dan menguruskan kehidupan seharian memandangkan Zawawi telah kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan dahulu.

“Semoga dengan sumbangan motosikal ini dapat memudahkan pergerakan dan urusan seharian Haji Zawawi dalam meneruskan kehidupan,” ujar Ustaz Shahril penuh harap. – HARAKAHDAILY 5/9/2021

- Advertisement -