
SEBENTAR tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diperkenankan.
Yang menjadi persoalan dalam kalangan kita semua terutama insiders dan pemerhati politik tanah air ialah siapa yang akan mengambil alih teraju kepimpinan negara dalam suasana kita sedang berperang dengan pandemik COVID-19 sekarang?
Akhbar Sin Chew sebagaimana dipetik oleh sebuah portal melaporkan Muhyiddin mahu menyerahkan kembali tampuk pentadbiran kepada wakil Umno. Ini bagi memastikan pelan yang telah sekian lama diatur dan dilaksanakan bagi memerangi COVID-19 tidak tergelincir dari landasan.
Dengan ini, mudah bagi kita untuk membuat telahan bahawa calon Perdana Menteri akan datang tidak lain tidak bukan adalah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Muhyiddin sekarang.
Saya sendiri seawal Ismail diumum sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 6 Julai lalu, telah menjangkakan demikian.
Ini termasuk pelantikan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang diumum sebagai Ketua Kluster Keselamatan mengambil alih tempat Ismail. Dalam kata lain, Muhyiddin menawarkan ‘pakej’ kepada Umno untuk kembali ke tampuk pemerintahan negara.
Dalam perkembangan mutakhir, pelantikan Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf Menteri juga boleh diandaikan sebagai suatu langkah kompromi oleh Muhyiddin.
Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Dato’ Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dalam kenyataan kepada media memberikan alasan hasrat peletakan jawatan disuarakan Muhyiddin susulan cadangannya untuk mewujudkan pemerintahan bipartisan ditolak oleh pembangkang dan Umno, kita boleh menduga bahawa hasrat itu mungkin bukan ditimbang oleh Perdana Menteri baru semalam dua.
Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, meninggalkan pentadbiran dalam keadaan seperti sekarang kepada kumpulan pendesak yang ternyata lebih mengutamakan politik berbanding kepentingan rakyat, akan mencemarkan reputasi lebih 40 tahun Muhyiddin dalam politik.
Justeru, meletak jawatan Perdana Menteri — akibat desakan pembangkang dan sebilangan pemimpin Umno — bukan bererti Muhyiddin sanggup memperjudikan rakyat. Nyawa dan kehidupan rakyat tidak termasuk dalam pakej pengorbanan beliau untuk memuaskan kehendak musuh-musuh politiknya.
Keputusan yang paling tepat perlu dibuat. Menguruskan pandemik yang sudah berlarutan lama dan telah menjejaskan nyawa begitu ramai manusia, memusnahkan kehidupan ramai orang bukan semudah menjual ubat majun di tepi jalan. Urusan ini memerlukan kecekapan, pengalaman dan kebertanggungjawaban.
Untuk mengatasi masalah COVID-19, andai diturunkan alien dengan teknologi canggih angkasa lepas pun belum tentu masalah akan dapat diatasi, lebih-lebih lagi tanpa pengalaman dan pemahaman yang mendalam mengenai tabiat manusia yang 1,001 macam.
Memang apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini tidak sempurna namun untuk mengkondem sepenuhnya sebagai gagal, itu lebih bermotif politik. Lihat sahaja apa yang berlaku di Parlimen tempoh hari. Jika sebelum itu pembangkang mendesak diadakan sidang konon untuk berbincang isu-isu berkepentingan rakyat menangani COVID-19, ironinya ia membawa kepada perbalahan politik semata-mata.
Dalam situasi sekarang, konsep bipartisan memikul tanggungjawab secara bersama dengan saranan-saranan konstruktif daripada pembangkang untuk membantu kerajaan adalah langkah yang sepatutnya dalam membela nasib rakyat yang sudah sekian lama terjejas, bukan menjadi tikus yang membaiki labu!
Justeru, sekiranya pemimpin daripada kelompok yang menentang — yang diketahui umum akan desakan mereka berasbab dengan pelbagai kepentingan diri — menonjolkan diri sebagai calon Perdana Menteri ke-9, bagaimana boleh diyakini mampu untuk membawa kita semua keluar segera daripada kemelut yang membelenggu selama ini?
Ironinya, tidak ada pun idea-idea yang lebih baik dikemukakan selain kenyataan kerajaan gagal dan Muhyiddin perlu meletak jawatan didendang oleh pembangkang. Unjuran bahawa negara akan mencapai Imuniti Kelompok menjelang akhir tahun yang berasaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara besar-besaran, insya-Allah dalam sedikit masa lagi akan membuktikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah langkah yang tepat diusahakan kerajaan.
Sehubungan itu, biarlah orang yang sebenarnya daripada kumpulan yang bekerja keras selama ini, terus menjadi teraju, bukan daripada kalangan manusia yang mengambil kesempatan ‘potong tang kona’ semata-mata untuk mendapat kredit ‘mileage’ kononnya itu usaha mereka.
Menunggu Usul Undi Percaya dibentang dalam sidang Dewan Rakyat pada 6 September adalah berisiko untuk Perdana Menteri. Dari segi politik, saya melihat ini juga satu langkah yang akan kembali menyatukan Umno selepas pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Jika ini yang berlaku, pengukuhan Umno yang diwakili kumpulan pro PN akan juga mengukuhkan koalisi pemerintahan yang baharu jika pembentukan Kabinet diuruskan dengan baik. Penentangan oleh pembangkang sudah tentu akan terus berkumandang namun insya-Allah, ia hanya akan menjadi seperti anjing menyalak bukit.
Dalam konteks ini, tidak perlu timbul isu Perdana Menteri Interim ataupun ‘Caretaker Government’ kerana yang akan dibentuk insya-Allah ialah sebuah Kabinet berasaskan koalisi yang mampu untuk terus berkayuh hingga garisan akhir PRU15.
Apa pun, ini sekadar ramalan tok nujum yang kemenyannya masih kurang berbau. Terserah pada kebijaksanaan Ke Bawah DYMM Tuanku.
Mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan, seseorang Perdana Menteri boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan calon (atau seorang calon) seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Itu adalah kuasa prerogatif atau kuasa mutlak Baginda yang tidak boleh dipersoalkan, apa lagi dipertikaikan. Kita merancang tetapi perancangan Allah adalah lebih baik.
Wallahua’lam.
MUHAMMAD MAT YAKIM
Alor Setar, Kedah – HARAKAHDAILY 16/8/2021
Nota
Ini hanya pandangan peribadi penulis sebagai pemerhati politik atau bekas wartawan. Tiada kaitan dengan jawatan rasmi disandang.




















