Surat Istana bocor boleh undang kekecohan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius perkara penyebaran surat sulit dari Istana Negara dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat tersebut.

Timbalannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, penularan surat yang didakwa merupakan surat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai adalah suatu perkara yang amat serius dan boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

- Advertisement -

Mengulas lanjut katanya, sekiranya warkah tersebut benar wujud, tentunya merupakan surat rahsia dan terhad yang sepatutnya hanya dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu Perdana Menteri.

“Tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.

“Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam.

“Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika yang telah menimbulkan polemik dan kekecohan di kalangan masyarakat, serta menampakkan seolah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif,” ujarnya dalam kenyataan.

Oleh demikian, beliau berpendapat bahawa isu itu seharusnya diselesaikan berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan oleh kedua-dua pihak dan bukannya menyemarakkan lagi pertembungan.

“Suatu laporan polis akan dibuat bagi menggesa siasatan dibuat untuk melihat sama ada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut.

“Kami juga turut mengarahkan semua Dewan Pemuda PAS Negeri dan Kawasan untuk membuat laporan polis tersebut dan bersatu menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan,” katanya.

Beliau juga mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik.

“Saya juga mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -