
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Bukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal, tetapi kelompok-kelompok tidak bertanggungjawab yang cuba menggagalkan usaha kerajaan menangani Covid-19 melalui pelbagai tindakan yang dilihat kurang waras, kata Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar.
Beliau berkata demikian merujuk kepada beberapa siri himpunan yang diadakan di sini, baru-baru ini yang dipercayai didalangi parti-parti blok pembangkang.
“Dalam kalangan mereka ini ada Perdana Menteri 22 bulan yang meletakkan jawatan sehingga gugurlah kabinet Pakatan Harapan 22 bulan dan diselamatkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional dengan dokongan oleh PAS, UMNO, Bersatu, Parti Sabah dan Sarawak serta komponen lain bagi menghadapi Covid-19 yang sungguh mencabar ini.
“Tidak dilupakan juga dalam kalangan mereka pernah menjadi Ketua Menteri Sabah, Shafie Afdal tetapi membubarkan DUN Sabah dan berlakulah PRN Sabah yang menjadi antara penyebab Covid-19 di negara kita meningkat mendadak.
“Selangor masih PH dan sebahagian mereka jugalah menjadi Task Force untuk mengawal dan memikirkan cara yang paling berkesan mengawal Covid-19 tetapi Selangor masih menjadi penyumbang terbesar angka Covid-19 di Malaysia.
“Mereka inilah orang-orang yang gagal dan sedang menggagalkan usaha kerajaan Perikatan Nasional sebahagiannya untuk memulihkan ekonomi serta memutuskan rantaian Covid-19 di Malaysia.
“Belum pun reda dengan perhimpunan Baju Hitam di Dataran Merdeka Sabtu lepas sekarang Ahli Parlimen Pembangkang pula berhimpun. Apa yang mereka inginkan sehenarnya.
“Gambar menunjukkan mereka ini berhimpun dengan tidak menghiraukan SOP Covid-19. Memakai topeng muka yang tidak mematuhi standard, tiada penjarakan dan berhimpun serta berhimpit.
“Apakah ini pemimpin yang kita harapkan untuk bersama-sama mengekang wabak Covid-19 ini? Rakyat perlu memberi penilaian sebaik dan seadilnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang bertindak mengadakan perhimpunan dalam keadaan yang getir seperti ini.
Ujarnya, seharusnya semua pihak berganding bahu bersama memberikan pandangan serta idea bernas kepada kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19 sekali gus membantu meningkatkan tahap ekonomi rakyat dan negara secara umumnya.
Sabtu lalu, hampir 400 individu memakai baju hitam dilihat berkumpul berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, sejak jam 10 pagi dipercayai bagi menyertai perhimpunan keluar dan #lawan.
Himpunan yang dipercayai anjuran Sekretariat Soladiriti Rakyat itu diadakan bagi meluahkan ketidakpuashatian terhadap kerajaan ekoran kenaikan kes Covid-19 di negara ini.
Mereka juga membawa bendera hitam, sepanduk dan replika jenazah untuk menzahirkan protes terhadap kerajaan.
Pada Isnin, sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Bulatan Datuk Onn berdekatan Dataran Merdeka pagi ini selepas mereka dilarang memasuki Parlimen.
Media melaporkan, mereka kini membuat sidang akhbar bagi melahirkan rasa tidak puas hati berikutan penangguhan sesi sidang Parlimen. – HARAKAHDAILY 2/8/2021




















