
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mempersoalkan kegagalan Kerajaan Negeri Selangor menguruskan kes Covid-19 yang semakin meningkat di negeri itu.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, kes positif Covid-19 terus mencatatkan jumlah tinggi setiap hari di Selangor menjadikan negeri itu sebagai yang tertinggi mempunyai kes Covid-19 di Malaysia.
Katanya, sehingga kini beliau mendapati masih tiada langkah dan cadangan yang berkesan daripada Jawatankuasa Task Force Covid-19 Selangor kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi membantu mengurangkan penularan virus itu dalam kalangan rakyat Selangor.
“Umum telah mengetahui dan telah mengenalpasti bahawa punca utama jangkitan virus ini adalah daripada sektor perkilangan yang masih lagi dibenarkan beroperasi.
“Laporan media 6 Julai, mendedahkan 60 peratus adalah kes positif daripada kluster tempat kerja kilang.
“Sepatutnya langkah berkesan segera dicadangkan oleh kerajaan negeri Selangor dan tidak hanya membiarkan dan menunggu arahan dan keputusan daripada MKN.
“Seolah-olah di Selangor macam tak ada kerajaan, hanya berdiam diri menunggu sahaja arahan daripada MKN,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru itu, beliau berpendapat bahawa sewajarnya Kerajaan Negeri Selangor lebih proaktif menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat.
Hal ini kerana ia memberi kesan kepada angka positif Covid-19 kebangsaan.
“Memamg tidak boleh dinafikan Selangor penyumbang tertinggi, jumlah pesakit Covid-19.
“Semalam sahaja Selangor mencecah 4,682 kes Covid-19 daripada jumlah keseluruhan 9,105 kes dalam negara.
“Ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan mengaitkan angka yang tinggi tersebut dengan kegagalan kerajaan persekutuan. Siapa yang gagal, Selangor atau Kerajaan Persekutuan?” soalnya.
Tambah Mohd Zai, Kerajaan Negeri Selangor mempuyai Akta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai kuasa dibawah Seksyen 102 (s) iaitu boleh menggantung operasi kilang yang memudharatkan.
Jelasnya, kerajaan negeri bahkan boleh mencadangkan peruntukkan tersebut kepada MKN memandangkan situasi di negeri itu sangat kritikal berbanding negeri lain.
Malah, ia dikhuatiri boleh membawa jangkitan ke negeri lain sekiranya terdapat sebarang rentas daerah dan negeri sebagaima yang dilakukan oleh pemimpin DAP, Roonie Liu ketika berada di Raub, Pahang.
Justeru itu, beliau mewakili UMMAH menyokong saranan Rafizi Ramli yang mempersoalkan mengapa kerajaan negeri Selangor tidak menggunakan undang-undang PBT itu untuk menutup operasi kilang di negeri itu.
“Sampai bila pun kalau kilang ini masih beroperasi, kadar jangkitan tidak dapat dikurangkan.
“UMMAH mendesak kerajaan Selangor untuk mengenal pasti langkah drastik dan jika perlu menggunakan kuasa dibawah undang-undang PBT bagi menutup operasi kilang dikawasan yang tinggi kes jangkitan.
“Tindakan ini demi membantu pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), dan pelbagai pihak yang sedang bertungkus lumus menangani masalah Covid-19 ini.
“Kos yang besar ditanggung oleh kerajaan persekutuan untuk menjaga keselamatan negeri Selangor sedangkan punca yang sebenar tidak di tutup.
“UMMAH berharap kerajaan negeri Selangor segera bangun daripada tidur,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 12/7/2021




















