
SELEPAS Mesyuarat CPRC Kebangsaan pagi ini, saya membuat tinjauan di Zon Pengurusan Bencana atau Disaster Management Zone (DMZ) Hospital Tuanku Mizan. Tinjauan ini bertujuan untuk merencanakan dan memurnikan perancangan strategik pengurusan pesakit-pesakit COVID-19 di Lembah Klang susulan daripada peningkatan kes-kes COVID-19 terutamanya di kategori 3, 4 dan 5 di Lembah Klang yang menyebabkan kesesakan di fasiliti-fasiliti kesihatan di sini.
DMZ ini ditempatkan di parkir bawah tanah Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan merupakan fasiliti sedia ada yang direka khas oleh ATM sejak pembinaan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan 20 tahun lepas. DMZ ini dilengkapi bekalan oksigen berpusat, vacuum ports serta sistem pendawaian elektrik khas bagi tujuan kesiapsiagaan bencana biologi dan kimia.
DMZ ini mampu menampung sebanyak 100 pesakit Kategori 3, dan 50 pesakit Kategori 4 dan jika perlukan bantuan alat pernafasan untuk kategori boleh dipindahkan ke wad ICU Hosp Angkatan Tentera Tuanku Mirzan. Persiapan kini sedang giat dijalankan oleh HAT Tuanku Mizan dan dijangkakan untuk menerima pesakit kategori 3 mulai esok hari. Sebagai makluman, pesakit di kategori 3 adalah pesakit COVID-19 bergejala dengan radang paru-paru manakala pesakit kategori 4 pula adalah pesakit yang bergejala, mempunyai radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.
Bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, saya ingin mengucapkan ribuan penghargaan dan terima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera dan seluruh anggota Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di atas kerjasama strategik dalam memerangi pandemik COVID-19 di negara ini. Semoga semua usaha ini dipermudahkanNya demi negara.
TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan – HARAKAHDAILY 12/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/578835322140360/posts/4537224889634697/













