Keputusan bijak PM lantik Timbalan Perdana Menteri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakam ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat keputusan bijak dalam memilih timbalannya Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah, berkata dengan pelantikan itu diharap dapat meredakan pergolakan politik negara.

Pada masa yang sama jelasnya diharap dapat memberi kestabilan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang.

- Advertisement -

“Kita percaya Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan yang dilantik dapat mengukuh kedudukan kerajaan,” ujarnya ketika diminta mengulas berhubung pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau juga kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan, manakala Dato’ Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Muhyiddin mengumumkan perkara itu pada satu kenyataannya dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri petang semalam.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, pelantikan itu diharap akan menguatkan usaha menangani pandemik Covid-19.

“Pada masa yang sama kita berharap dengan pelantikan kedua-dua pimpinan ini dapat membantu usaha memulihkan ekonomi negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat menerima pelantikan berkenaan dengan sikap terbuka dan positif demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan agenda negara.

Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, pelantikan Ismail Sabri amat tepat berdasarkan pengalamannya dan kedudukan paling kanan dalam Umno.

Katanya pemimpin terbabit terbukti berjaya menguruskan negara terutama menjayakan Pelan Pemulihan Negara ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 sekarang.

“Tahniah kepada Ismail yang begitu gigih dan tenang mengenali tugasan sepnjang menangani situasi negara dilanda Wabak Covid-19,” katanya.

Di KANGAR, Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata pelantikan itu dilihat tepat pada masanya memandangkan beliau memiliki pengalaman yang luas sebagai menteri sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Katanya, Ismail diyakini mampu membantu perdana menteri dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara ketika negara sedang mengharungi tempoh sukar akibat pandemik Covid-19.

“Gandingan dua tokoh penting negara dalam menerajui kerajaan Perikatan Nasional mampu mengembalikan semula kegemilangan negara sebagai salah satu kuasa ekonomi yang kukuh dan stabil di rantau ini,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Beliau juga turut mengucap tahniah kepada Hishamuddin yang dilantik sebagai Menteri Kanan dan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Ismail Sabri. – HARAKAHDAILY 8/7/2021

- Advertisement -