UniSHAMS umum inisiatif ringankan beban kewangan pelajar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAM) telah mengambil inisiatif membantu meringankan beban kewangan pelajarnya dengan menawarkan beberapa pakej bantuan khususnya berdepan pandemik COVID-19.

Di antaranya ialah memberi sumbangan sebanyak RM150 setiap semester yang dikreditkan ke dalam penyata pelajar sepanjang tempoh pandemik bermula sesi Disember 2020 dan sesi Jun 2021 bagi meringankan beban kewangan membayar data internet.

- Advertisement -

Inisiatif institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Kedah ini berbuat demikian seiring keperluan pelajar ketika ini memandangkan pengajian dilaksanakan di atas talian sepenuhnya dan juga secara hibrid.

Turut diberikan adalah pengurangan yuran pendaftaran kepada Alumni UniSHAMS yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di UniSHAMS sebanyak 50 peratus serta tambahan pengurangan sebanyak RM100.

Juga memberi pengurangan yuran pendaftaran kepada semua pelajar baharu bermula sesi Jun 2021 sebanyak RM100, selain pelajar juga boleh mendaftar kemasukan dengan hanya membayar sebanyak RM100 sebagai bayaran minima.

UniSHAMS juga meneruskan biasiswa penuh yuran pengajian program Asasinya kepada semua pelajar yang berhasrat meneruskan pengajian sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda di kampus tersebut. – HARAKAHDAILY 8/7/2021

- Advertisement -