
ALOR SETAR: Kerajaan negeri terus memacu pembangunan pelbagai sektor seiring menggerakkan kebajikan rakyat di sebalik cabaran pandemik COVID-19 yang masih membataskan rutin aktiviti kehidupan.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan rasminya menggariskan banyak perkara telah diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang berlangsung secara atas talian semalam.
Antara yang utama melibatkan pengisytiharan Yan sebagai Pelabuhan Persekutuan di mana kerajaan negeri bersetuju memohon penubuhan Lembaga Pelabuhan Kedah daripada Kementerian Pengangkutan.
Menurut beliau, lembaga tersebut akan turut mengawal selia pelabuhan lain di seluruh negeri ini dengan mengambil kira semua kepentingan negeri, termasuk sebahagian kutipan cukai dan fee berkaitan diberikan kepada Kedah.
“Mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dilibatkan dalam semua rancangan berkaitan Pelabuhan Yan dan pembangunan masyarakat setempat menjadi agenda penting pembangunan ini.
“Isu-isu alam sekitar, batas sempadan pelabuhan, pembangunan bahagian daratan, pembangunan komponen lain di kawasan terbabit harus selari dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035,” ujarnya.
Mesyuarat juga maklumnya mengesahkan penggunaan sistem Sistem Ubah Jenis Kegunaan Tanah (i-UJKT) untuk permohonan berkaitan penyerahan balik dan pemberi milikan semula tanah.
Menurut beliau, sistem ini akan menyingkatkan proses-proses berkaitan sebanyak 75 peratus daripada tempoh biasa dari sebelum ini kepada 45 hingga 135 hari sahaja di mana terdapat banyak permohonan yang berlarutan sehingga 3-4 tahun sebelum ini.
“Tempoh yang terlalu lama sebelum ini menyebabkan peningkatan kos pemaju yang akhirnya turut membebankan pembeli. Gabungan sistem manual dan digital atas talian melalui proses re-engineering (perekayasaan) ini akan memendekkan masa memproses sesuatu permohonan.
“(Ia) tetap selari dengan kehendak undang-undang ([Akta 56] KTN 1965, [Akta 172] – Akta Perancang bandar dan Desa 1972 dan [Akta 133] Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974).
“Sistem i-UJKT akan memendekkan tempoh masa sehingga 75 peratus berbanding tempoh sebelumnya iaitu penjimatan masa antara 180 sehingga 300 hari.
“Kaedah permohonan adalah secara hybrid melalui sistem i-UJKT mengikut SOP yang ditetapkan dan penggunaan borang permohonan adalah mengikut ketetapan Jadual Ke-10 KTN 1965,” jelasnya.
Sanusi turut membentangkan pengesahan penambahan jumlah bakul makanan peringkat kedua di semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi membantu penduduk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Maklumnya, bermula 1 Jun, semua PKOB menerima 2,000 bakul makanan dan RM50,000 peruntukan keperluan khas seperti susu bayi dan lampin bayi dan bagi fasa dua ini (Julai) semua PKOB menerima 2,000 lagi bakul makanan dan 3,000 bakul bagi Daerah Kuala Muda.
Beliau juga mengesahkan bantuan khas sempena PKP Diperketatkan (PKPD) Politeknik Sultanah Bahiyah Kulim sebanyak RM20,000 iaitu RM10,000 diserahkan kepada PKOB Kulim dan RM10,000 diserahkan kepada Politeknik.
Beritahu beliau, jumlah keseluruhan program bantuan Kerajaan Negeri Kedah kepada rakyat bagi menghadapi pandemik COVID-19 sejak Mei 2020 hingga Jun 2021 berjumlah RM26,798,915 iaitu masing-masing berjumlah RM10,763,615.00 (Mei – Disember 2020) dan RM16,035,300.00 (Januari – Jun 2021).
ADUN Jeneri itu juga memakluman prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Kedah sehingga 28 Jun di mana terdapat 15 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan kesihatan di Kedah dengan mempunyai kapasiti suntikan sebanyak 9,200 suntikan.
“Cadangan pembukaan PPV bukan kesihatan yang akan beroperasi pada Julai 2021 berjumlah empat dengan kapasiti suntikan 2,600. Pembukaan PIKAS di KHTP Sport Centre mulai 10 Julai 2021 untuk 30,000 pekerja di KHTP dan 18,000 pekerja sektor industri dari luar KHTP.
“Satu PIKAS untuk pekerja industri jugs akan dibuka di Kedah Industrial Skills and Management Development (KISMEC) dan Kilang Minibea Electronics Motor (M) Sdn Bhd secara serentak untuk pekerja industri Daerah Kuala Muda.
“Penubuhan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Langkawi International Convention Centre (LICC) bagi membolehkan Pulau Langkawi mencapai herd immunity iaitu 80 peratus penduduk Langkawi menerima suntikan vaksin.
“Ini supaya ia boleh dibuka semula untuk menghidupkan sektor pelancongan melalui program ‘gelembung hijau’ pelancongan,” ujarnya memberitahu Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta di Taman Teknologi Tinggi Kulim dan usaha seumpama di beberapa lokasi itu.
Katanya, PICK bagi negeri ini menyasarkan 2,185,100 penduduk warganegara dan bukan warganegara dapat menerima vaksin masing-masing.
Keputusan mesyuarat itu juga dinyatakannya, membenarkan operasi kuari batu dan kuari pasir untuk memastikan kerja-kerja infrastruktur awam yang sedang berjalan tidak mengalami gangguan selaras dengan SOP ditetapkan MKN.
“Projek-projek lain yang perlu dielakkan daripada terganggu berikutan penutupan operasi kuari ialah pembinaan kilang-kilang oleh para pelabur di KHTP dan kawasan-kawsan industri.
“Sehubungan itu bahagian Pendaftaran dan Hasil di Pejabat Tanah dan galian serta Pejabat Daerah dan Tanah daerah-daerh akan dibuka untuk menguruskan keperluan berkaitan.
“Semua bahan binaan yang dikeluarkan daripada kuari-kuari dalam Negeri Kedah hanya dibenarkan untuk kegunaan dalam Negeri kedah sahaja. Bayaran penalti bagi kelewatan pendaftaran Borang 14A dab 16A yang melebihi 3 bulan dikecualikan,” ujarnya merangsang proaktif.
Kerajaan negeri juga katanya memohon pembukaan semula Pusat Jalur Lebar Komuniti untuk membantu proses PdPR kepada pelajar yang tinggal di luar bandar.
Malah, kerajaan negeri turut memberi diskaun bagi sewaan premis perniagaan di bawah Pihak berkuasa Tempatan (PBT) untuk membantu kumpulan peniaga yang terjejas dengan PKP 3.0.
Selain itu, pembukaan operasi Pejabat Agama Islam di daerah-daerah untuk urusan pendaftaran pernikahan dan urusan berkaitan juga diumumkannya termasuk berkaitan ibadah korban.
“Mengambil maklum dan menerima pakai SOP Pelaksanaan Ibadah Korban yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam negeri Kedah selaras dengan SOP PKP 3.0,” persetujui mesyuarat itu maklumnya.
Berikut ialah kenyataan penuh tersebut:
PERISYTIHARAN Yan sebagai Pelabuhan Persekutuan. Mengambil maklum dan mengalu-alukan perisytiharan dibuat Kementerian Pengangkutan Malaysia di bawah Seksyen 5 dan 6 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bahawa sebuah pelabuhan baharu telah diluluskan di Daerah Yan bersama komponen pembangunan lain di kawasan tersebut.
Berikutan itu, Kerajaan Negeri bersetuju memohon penubuhan Lembaga Pelabuhan Kedah (Kedah Port Authority) yang turut mengawal selia pelabuhan lain di seluruh Kedah seperti Pelabuhan Telok Ewa Langkawi dan pelabuhan kecil yang lain yang dikawal selia oleh Penang Port pada waktu ini. Lembaga Pelabuhan Kedah ini haruslah mengambil kira semua kepentingan Negeri Kedah, termasuk sebahagian kutipan cukai dan fee berkaitan harus diberikan kepada Kedah.
Kerajaan juga turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dilibatkan dalam semua rancangan berkaitan Pelabuhan Yan dan pembangunan masyarakat setempat menjadi agenda penting pembangunan ini. Isu-isu alam sekitar, batas sempadan pelabuhan, pembangunan bahagian daratan, pembangunan komponen lain di kawasan terbabit harus selari dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Mengesahkan penggunaan sistem i-UJKT untuk permohonan pengubahan syarat nyata / kategori atau pecah sempadan dan pengubahan syarat nyata / kategori / secara serentak atau permohonan penyerahan balik dan pemberi milikan semula tanah. Sistem ini akan menyingkatkan proses-proses berkaitan daripada tempoh biasa sebelum ini kepada 45 hingga 135 hari sahaja. Terdapat banyak permohonan yang berlarutan sehingga 3-4 tahun sebelum ini.
Tempoh yang terlalu lama sebelum ini menyebabkan peningkatan kos pemaju yang akhirnya turut membebankan pembeli. Gabungan sistem manual dan digital atas talian melalui proses re-engineering (perekayasaan) ini akan memendekkan masa memproses sesuatu permohonan yang tetap selari dengan kehendak undang-undang ([Akta 56] KTN 1965, [Akta 172] – Akta Perancang bandar dan Desa 1972 dan [Akta 133] Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974).
Sistem i-UJKT akan memendekkan tempoh masa sehingga 75 peratus berbanding tempoh sebelumnya iaitu penjimatan masa antara 180 sehingga 300 hari. Kaedah permohonan adalah secara hybrid melalui sistem i-UJKT mengikut SOP yang ditetapkan dan penggunaan borang permohonan adalah mengikut ketetapan Jadual Ke-10 KTN 1965.
Mengambil maklum dan mengesahkan penambahan jumlah bakul makanan peringkat kedua di semua PKOB Daerah bagi membantu penduduk menghadapi PKP3.0. Bermula 1 Jun 2021, semua PKOB menerima 2,000 bakul makanan dan RM50 ribu peruntukan keperluan khas seperti susu bayi dan lampin bayi. Bagi fasa dua ini (Julai 2021) semua PKOB menerima 2,000 lagi bakul makanan dan 3,000 bakul bagi Daerah Kuala Muda.
Mengesahkan bantuan khas sempena PKPD Politeknik Sultanah Bahiyah Kulim sebanyak RM20,000 (RM10,000 diserahkan kepada PKOB Kulim dan RM10,000 diserahkan kepada Politeknik) sebagai bantuan makanan kering kepada pelajar dan kakitangan yang dikenakan PKPD.
Mempermudahkan urusan permohonan dan agihan bakul-bakul makanan di semua PKOB dan memperakukan agihan bakul makanan yang disediakan dan diedarkan oleh wakil-wakil rakyat kerajaan melalui pusat Khidmat masing-masing, dengan pematuhan kepada SOP PKP 3.0 yang ketat.
Mengambil maklum dan mengesahkan jumlah keseluruhan program bantuan Kerajaan Negeri Kedah kepada rakyat Kedah bagi menghadapi pandemik COVID-19 sejak Mei 2020 – Jun 2021 berjumlah RM26,798,915 iaitu masing-masing berjumlah RM10,763,615.00 (Mei – Disember 2020) dan RM16,035,300.00 (Januari – Jun 2021).
Pemakluman Prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Kedah Darul Aman sehingga 28 Jun 2021. Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan kesihatan di Kedah berjumlah 15 buah dan mempunyai kapasiti suntikan sebanyak 9,200 suntikan.
Cadangan Pembukaan PPV bukan kesihatan yang akan beroperasi pada Julai 2021 berjumlah 4 buah dengan kapasiti suntikan 2,600. Pembukaan PIKAS di KHTP Sport Centre mulai 10 Julai 2021 untuk 30,000 pekerja di KHTP dan 18,000 pekerja sektor industri dari luar KHTP.
Satu PIKAS untuk pekerja industri jugs akan dibuka di Kedah Industrial Skills and Management Development (KISMEC) dan Kilang Minibea Electronics Motor (M) Sdn Bhd secara serentak untuk pekerja industri Daerah Kuala Muda.
Penubuhan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Langkawi International Convention Centre (LICC) bagi membolehkan Pulau Langkawi mencapai herd immunity iaitu 80 peratus penduduk Langkawi menerima suntikan vaksin supaya ia boleh dibuka semula untuk menghidupkan sektor pelancongan melalui program ‘gelembung hijau’ pelancongan. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi Negeri Kedah menyasarkan 2,185,100 penduduk warganegara dan bukan warganegara dapat menerima vaksin masing-masing.
Membenarkan operasi kuari batu dan kuari pasir untuk memastikan kerja-kerja infrastruktur awam yang sedang berjalan tidak mengalami gangguan selaras dengan SOP yang ditetapkan oleh MKN. Projek-projek lain yang perlu dielakkan daripada terganggu berikutan penutupan operasi kuari ialah pembinaan kilang-kilang oleh para pelabur di KHTP dan kawasan-kawsan industri. Sehubungan itu bahagian Pendaftaran dan Hasil di Pejabat Tanah dan galian serta Pejabat Daerah dan Tanah daerah-daerh akan dibuka untuk menguruskan keperluan berkaitan.
Semua bahan binaan yang dikeluarkan daripada kuari-kuari dalam Negeri Kedah hanya dibenarkan untuk kegunaan dalam Negeri kedah sahaja. Bayaran penalti bagi kelewatan pendaftaran Borang 14A dab 16A yang melebihi 3 bulan dikecualikan. Memohon pembukaan semula Pusat Jalur Lebar Komuniti untuk membantu proses PDPR kepada pelajar yang tinggal di luar bandar.
Memberi diskaun bagi sewaan premis perniagaan di bawah Pihak berkuasa Tempatan (PBT) untuk membantu kumpulan peniaga yang terjejas dengan PKP 3.0. Pembukaan operasi Pejabat Agama Islam di daerah-daerah untuk urusan pendaftaran pernikahan dan urusan berkaitan.
Mengambil maklum dan menerima pakai Standard Operating Prosedure (SOP) Pelaksanaan Ibadah Korban yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam negeri Kedah selaras dengan SOP PKP 3.0.
YAB MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar Kedah Darul Aman – HARAKAHDAILY 8/7/2021











