PPV Masjid bawa fitnah kepada agama?

- Advertisement -

SAYA terkejut kerana pelbagai respons di kalangan netizen berkaitan dengan PPV Masjid yang dijalankan oleh NGO. Bagi yang antivaksin, apa lagi, terus isu ini ditunggang rapat. Terdapat juga para asatizah yang merasa diri mereka dipersalahkan kerana dipersoalkan kenapa beri vaksin boleh, tetapi solat jamaah sekat atau terhad?

Nasihat saya, tidak perlu berasa bersalah, apabila kita telah melakukan ijtihad, serahkan kepada Allah untuk menjadi penyudahnya. Kami di bidang perubatan ini pun senantiasa belajar sesuatu yang baharu dalam menangani wabak COVID-19 ini. Perubatan itu bukan rigid, begitu juga dengan agama Islam – bukan rigid. Sudah pasti sesuatu yang baharu mendatang dalam kaedah menguruskan wabak akan digunakan bagi kebaikan ummah jua.

- Advertisement -

Matlamat sebenar PPV Masjid ini kita nak bantu percepatkan proses pemberian vaksin agar kita semua keluar dari pandemik COVID-19 dengan seberapa segera. Inilah pelan pemulihan COVID-19 negara yang baharu diumumkan oleh YAB Perdana Menteri. 

Atas hasrat itulah, PPV Masjid dilaksanakan oleh PAPISMA. Kick start pilot projek baru bermula 19 Jun lalu. Setakat ini baharu 2 masjid di Terengganu telah dilaksanakan. Alhamdulillah ianya berjalan lancar dengan SOP dan garis panduan yang ketat.

Tetapi pelik, ramai pula yang cuba menangguk di atas isu gambar viral program Outreach imunisasi yang dijalankan di salah satu masjid di Kelantan. Program tersebut bukan mengikut garis panduan sebenar PPV Masjid yang dilakukan oleh PAPISMA di Terengganu.

Tiba-tiba PPV Masjid dituduh menimbulkan fitnah kepada agama. Sedangkan mereka yang cuba bermain dengan api fitnah itu tidak pun selidik perkara sebenar berlaku. Kami yang bersemangat nak bantu pun jadi serba salah, tak nak bantu pun serba salah dengan pelbagai slogan yang dikeluarkan oleh mereka yang sebelum ini sememangnya terlalu benci dengan pemberian vaksin.

Apabila kerajaan melalui MOSTI terutamanya YB Datuk Ahmad Amzad Hashim memberi peluang kepada NGO untuk membantu pemberian vaksin, kami sahut seruan itu dan syorkan supaya diadakan di masjid. Ini kerana PPV lain telah pun ada seperti PPV pandu lalu, PPV dewan orang ramai, PPV sekolah dan sebagainya. Justeru kami mencadangkan supaya buat PPV di masjid bagi meningkatkan keyakinan jamaah masjid yang agak tercorok dari PPV awam yang telah pun dijalankan. Kaedah ini juga menyenangkan mereka yang amat sukar dari sudut pengangkutan ke PPV awam lain.

Bermula dari situ beberapa sesi perbincangan ektensif di peringkat AJK dan pihak berwajib seperti Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu atau MAIDAM. Semua pihak bersetuju dengan pelaksanaan pilot program PPV Masjid dengan SOP dan Garis Panduan yang ketat. Pemantauan terus dilaksanakan oleh JKNT dan JHEAT atau MAIDAM. 

Syarat yang paling utama adalah:

1. Pelaksanaan dibuat bukannya di ruang utama solat, 
2. Masjid mempunyai ruang parking yang sesuai, 
3. Jika terdapat bangunan tambahan – akan disanitasi terlebih dahulu, 
4. Kehadiran penerima vaksin mengikut jadual khusus mengikut masa tepat.
5. Tidak dibenarkan berkumpul di satu-satu stesen melebihi tertentu (bergantung kepada penilaian keluasan ruang setiap stesen).
6. Semua pihak terlibat dan hadir bagi memantau perjalanan program seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Agama dan Polis.
7. Program bukan tetap secara harian atau mingguan. Hanya masjid terpilih dan betul-betul sesuai sahaja yang akan dilaksanakan.
8. Guna pakai SOP standard PPV Awam.
9. dan beberapa lagi.

Isunya sekarang bukan semata-mata masjid atau mana-mana lokasi lain. Isu utama yang dipertikaikan adalah pematuhan SOP dan garis panduan. Tiba-tiba viral gambar kononnya PPV Masjid yang tidak ikut SOP, duduk rapat-rapat untuk berfoto. Sehingga ada yang memperli, virus COVID-19 boleh pilih-pilih orang ke? Saya akui, sesuatu yang silap perlu ditegur dan dikenakan tindakan sewajarnya. Diharap perkara yang sama tidak berlaku lagi pada masa depan.

Ingat, matlamat utama kita adalah untuk membantu mempercepatkan proses imunisasi COVID-19 negara. Kami bersemangat untuk teruskan ke seluruh Terengganu malah ke seluruh negara. Tolong beri sokongan moral anda.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 29/6/2021

Post script: Seluruh Masjid Terengganu dibenarkan solat jamaah semasa PKP 3.0 dengan kapasiti 12 orang.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Sumber Asal: https://www.facebook.com/546572572048737/posts/4169987959707162/

- Advertisement -