
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan menghentikan kemasukan pesakit dan diletakkan dalam mod sedia (standby mode) berikutan kes jangkitan menunjukkan trend penurunan.
Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, tiga PKRC berkenaan iaitu PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di Tumpat, PKRC SMK Salor dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Pasir Mas.
Manakala PKRC Dewan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian akan turut dihentikan kemasukan pesakit bermula 1 Julai.
“Ini juga menjadikan sebanyak 10 PKRC sahaja yang akan terus beroperasi dalam tempoh ini bermula bulan depan.
“Di samping kami akan mengoptimumkan penggunaan PKRC di seluruh Kelantan,” katanya selepas menerima sumbangan peralatan perubatan daripada Persatuan Buddist Tzu Chi Cawangan Kelantan di PKRC Tanjong Chat di sini hari ini.
Sumbangan peralatan perubatan itu untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan diserah penyelaras Bantuan Covid-19 NGO terbabit Evone Lim.
Ditanya berkenaan persiapan bagi menghadapi sambutan Hari Raya Haji tidak lama lagi, kata beliau pihaknya melihat kepada keperluan dan keadaan semasa untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang keadaan yang akan berlaku. – HARAKAHDAILY 28/6/2021




















