Pemuda PAS Sabah saran longgar syarat petugas korban

- Advertisement -

Oleh MUSTAMAN MUSTAIN

SANDAKAN:
Kewajipan mengambil dua dos vaksin bagi petugas ibadah korban di negeri ini wajar dilonggarkan kerajaan negeri memandangkan terdapat kekangan yang dihadapi oleh petugas memenuhi syarat berkenaan.

Saranan tersebut disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin semalam dalam satu kenyataan media ketika mengulas perkara tersebut.

- Advertisement -

Pihaknya berpandangan syarat berkenaan amat sukar untuk dipenuhi ketika ini memandangkan masa yang suntuk bagi sambutan Hari Raya Aidil Adha, tambahan lagi tempoh pengambilan kedua-dua dos suntikan itu memerlukan tempoh tiga minggu.

“Majoriti petugas korban adalah terdiri daripada anak muda yang rata-ratanya masih belum menerima hatta satu dos vaksin memandangkan situasi semasa memerlukan mereka menunggu giliran serta mendahulukan petugas barisan hadapan dan golongan berisiko seperti warga emas,” jelasnya.

Justeru Zulzaim melihat dengan menjadikan ketetapan itu sebagai syarat utama bagi petugas pastinya akan menambah kekangan ibadah korban dilaksanakan di samping pelaksanaan SOP yang lain.

Katanya, saranan itu juga bersesuaian dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa kewajipan vaksin dua dos hanya sesuai dijadikan syarat sesuatu aktiviti sekiranya komuniti telah mencapai imuniti kelompok iaitu 80 peratus masyarakat telah menerima vaksin.

Sehubungan itu, ujarya Pemuda PAS Sabah mencadangkan agar kerajaan negeri memberi sedikit kelonggaran terhadap syarat berkenaan dan membenarkan mereka yang terlibat dalam urusan korban hanya perlu mematuhi SOP lain sebagaimana telah ditetapkan.

“Kita berharap saranan ini diterima sekali gus melancarkan penganjuran ibadah korban di samping pematuhan SOP lain seiringan dengan usaha kerajaan mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun menyatakan maksimum 20 orang petugas sehari dibenarkan bagi ibadah korban dengan lengkap menerima dua dos vaksin ketika menjelaskan garis panduan ibadah berkenaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu turut mengumumkan SOP lain seperti jamuan untuk petugas hanya dibenarkan secara berbungkus dan agihan daging perlu melalui cara penghantaran ke rumah penerima. – HARAKAHDAILY 28/6/2021

- Advertisement -