Potensi suntik vaksin 30,000 dos sehari di Kelantan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelantan menerima vaksin mengikut jadual yang ditetapkan kerajaan iaitu sekitar 50,000 dalam seminggu yang digunakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk PPV Outreach dan dikendalikan swasta.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dato’ Dr Zaini Husin berkata, pihaknya sudah menggunakan sekitar 97 peratus daripada jumlah vaksin Covid-19 yang dihantar.

- Advertisement -

Beliau turut memberi jaminan bekalan vaksin di Kelantan masih mencukupi.

“Setiap minggu kita guna dalam 50,000 dos dan agih kepada PPV di Kelantan sama ada PPV Outreach bagi kegunaan orang awam, swasta dan kita bertahan dengan bekalan yang ada dengan kadar suntikan 10,000 hingga 12,000 sehari.

“Kita dapat menyuntik dalam 30,000 sehari tetapi sekarang kita mengunakan dalam 10,000 sehari. Masih lagi berpotensi untuk kita tingkatkan kepada 30,000 sehari bergantung kepada bekalan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan melakukan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Dewan Perniagaan Cina di sini semalam.

Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) di Kelantan semakin mendapat sambutan sekarang.

Sehingga semalam seramai 625,000 penduduk di Kelantan berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan, 206,216 daripadanya telah menerima dos pertama manakala 111,916 individu sudah menerima dos kedua.

Dr Zaini juga berkata, Jabatan Kesihatan Negeri menerima banyak permohonan termasuk pihak swasta untuk dijadikan PPV Outreach, namun pihaknya meletakkan kriteria bagi memastikan kemudahan itu mendapat sambutan rakyat.

Manakala dalam perkembangan berkaitan katanya Jabatan Kesihatan menutup dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan dan diletak dalam mod sedia ekoran kes jangkitan menunjukkan penurunan sejak seminggu lalu.

PKRC berkenaan adalah PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di Tumpat dan PKRC SMK Salor tidak ditutup sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku wabak pada masa akan datang.

“Ini bergantung kepada kesesuaian tempat akan dinilai terlebih dahulu samada sesuai atau tidak, kemudahan yang ada dan mudah diakses oleh masyarakat setempat untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2021

- Advertisement -