Pengorbanan jangan dicemari pengeluaran arak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesediaan Menteri dan Timbalan Menteri tidak mengambil gaji untuk tempoh 3 bulan sebagai solidariti untuk rakyat Malaysia merupakan satu pengorbanan yang tidak mudah, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Menurut beliau, kesanggupan dipikul bersama tambahan tugas tetap dilaksanakan dalam tempoh tersebut adalah semata-mata  simpati kepada rakyat yang berdepan dengan wabak pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Begitu juga dengan pelbagai pakej pengumuman bantuan untuk rakyat terutama B40 yang mendapat moratorium pinjaman bank selama 3 bulan di samping bantuan-bantuan lain dari kantung kerajaan. 

- Advertisement -

“Dalam situasi hasil kerajaan yang sudah pasti sedang merosot, kesediaan kerajaan membuat pengumuman ini tentunya sudah ditimbang dari pelbagai sudut pro dan kontra.

“Cuma agak terkilan apabila tular pula surat kononnya pengeluar minuman keras syarikat Carlsberg Brawery Sdn Bhd turut diberikan kebenaran oleh Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI). 

“Adakah syarikat ini termasuk ‘essential services’ untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP Lockdown ini. Setakat mana kesahihannya sudah tentu pihak berkenaan boleh membuat pengesahan atau penafian. 

“Jika ia benar, kita mohon sangat agar kebenaran ini ditarik balik. Kita masih ingat insiden yang sama berlaku pada tahun lepas April 2020 di mana kebenaran untuk beroperasi kepada syarikat pengeluar minuman keras telah ditarik balik oleh kerajaan.

“Kali ini, jika benar syarikat ini diberikan pengecualian untuk mengeluarkan minuman keras, kita rayu agar ia ditarik balik. Tempoh pengorbanan rakyat Malaysia ini janganlah dicemari dengan mengundang murka daripada Allah S.W.T,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -