
VAKSINASI bukan sahaja menjaga individu yang mengambil vaksin tersebut, bahkan ia juga boleh menjaga kesihatan masyarakat keseluruhannya dan mencegah penyakit berjangkit daripada menyerang mereka. Ikhtiar untuk kesejahteraan semua ini telah menepati objektif syarak yang dituntut oleh Islam.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan bagi mengawal keadaan penularan jangkitan penyakit apabila sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit COVID-19 melalui Herd Immunity atau imuniti kelompok.
Menurut WHO, dianggarkan 60 peratus hingga 70 peratus populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap COVID-19 bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dicapai dan penularan COVID-19 dapat dikawal.
Oleh yang demikian, PAS Perak menyokong penuh usaha kerajaan dalam usaha mensasarkan negara Malaysia bakal menerima vaksin COVID-19 bagi memenuhi keperluan lebih 80 peratus rakyat keseluruhannya.
Keputusan kerajaan dalam isu vaksin adalah berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, bahawa hukum mengenai penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Malah keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI tersebut juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan dari Majlis Raja-raja pada 4 Januari 2021. Keputusan ini adalah selari dengan dalil seperti Firman Allah Ta’ala Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud;
“Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil).”
Justeru, PAS Perak menyeru seluruh rakyat Negeri Perak untuk menyahut seruan ini agar segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera sebagai persediaan untuk menerima vaksin serta elakkan daripada mempercayai atau menyebar berita tidak benar khususnya berkaitan vaksin.
Di samping itu, PAS Perak juga sedang menyusun pelbagai strategi dan langkah sedaya upaya dalam membantu memudahkan urusan masyarakat melalui khidmat sokongan dari semasa ke semasa, Insya-Allah.
Sekian, terima kasih.
“Lindung Diri, Lindung Semua”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”
YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
ADUN Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 1/6/2021











