
KUALA LUMPUR: Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd. Salleh mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan anggota kabinet serta kerajaan Malaysia seluruhnya di atas langkah prihatin yang diambil.
“Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah yang masih memberikan kelapangan rezeki bagi kerajaan dan pemerintah untuk berbelanja mentadbir urus negara dan rakyat terbanyak.
“Semoga semua bentuk sumbangan yang diisytiharkan akan benar-benar dapat terlaksana dengan lancar, terurus dan adil,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada rakyat jelata untuk sama-sama prihatin kepada semua pihak.
“Jangan ada sifat mementingkan diri sendiri menguasai segala pemikiran dan tindakan kita.
“Bantu membantu antara satu sama lain. Mendahulukan orang lain yang lebih memerlukan adalah sifat yang mesti membudaya dalam diri masing-masing, Islam amat mementingkan hal ini.
“Ingat setiap aktiviti dan sikap kita semua dalam pemerhatian Allah jua,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Mengulas berhubung pemotongan gaji selama tiga bulan yang dibuat oleh barisan menteri dan timbalan menteri sebagai tanda sokongan untuk memutuskan rantaian Covid-19, beliau berkata, ia merupakan satu contoh yang sangat dinantikan rakyat.
“Moga diterima Allah sebagai amal soleh.
“Islam juga amat menggalakkannya, seperti mafhum sabda Baginda SAW, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah,” katanya.
Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pakej Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikenali sebagai PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus.
Melalui pakej ini, sebanyak RM40 bilion diperuntukkan dengan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat, dan menyokong kelangsungan perniagaan; beserta 12 inisiatif terbaru. – HARAKAHDAILY 1/6/2021











