Suntik RM40 bilion, kerajaan mampu jaga kebajikan rakyat

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan mampu secara berterusan membantu kebajikan rakyat dan mengekalkan kemampanan ekonomi negara melalui pelbagai suntikan dana meskipun negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi yang meruncing.

Penganalisis Politik Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, program bantuan PEMERKASA Plus merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan rantaian sektor ekonomi negara tidak berhadapan penguncupan ekonomi yang serius.

“Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pelbagai lapisan masyarakat diberikan bantuan tambahan yang mampu melegakan kesusahan hidup mereka meskipun tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah dan krisis dihadapi rakyat.

- Advertisement -

“Saya juga terkejut kerajaan mampu merancang dan menyediakan pakej tambahan berjumlah RM40 bilion.

“Dengan pengalaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang singkat mentadbir negara dan mengambil alih kerajaan ketika krisis kesihatan dan ekonomi tetapi kerajaan mampu secara berterusan menyuntik dana kepada sektor ekonomi dan kebajikan rakyat dengan jumlah yang besar,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Menurut pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM) itu, beliau yakin melalui semua suntikan kewangan yang telah diberikan selama setahun ini memberi manfaat kepada semua golongan rakyat di negara ini.

Katanya, krisis yang dihadapi negara ini dihadapi negara di seluruh dunia dalam berdepan pandemik Covid-19 dan usaha bagi menstabilkan ekonomi negara masing-masing.

“Saya yakin tidak ada seorang rakyat Malaysia yang kelaparan ketika negara hari ini berhadapan krisis luar biasa hari ini.

“Bukan sahaja Malaysia, negara-negara lain di seluruh dunia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi, kebajikan yang lebih serius dan berhadapan malapetaka besar,” katanya lagi.

Dalam pada itu katanya, negara memerlukan kestabilan politik dalam usaha untuk mengukuhkan ekonomi, di samping kerjasama semua pihak dalam usaha untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.

“Pemimpin-pemimpin parti politik hari ini perlu segera berhenti dengan propaganda berterusan kerana mereka telah gagal menggugat usaha kerajaan selepas setahun melakukannya.

“Kerajaan bukan sahaja bosan, rakyat akan buang dan humban ahli-ahli politik yang tidak memahami denyut nadi dan biadab melayani kehendak rakyat ini dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang,” katanya.

Perdana Menteri semalam, mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) bernilai RM40 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Ia membabitkan suntikan fiskal oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion.

Pelaksanaan PEMERKASA Plus menetapkan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -