
ALOR SETAR: Semua ADUN PAS Kedah telah bersepakat untuk menyumbang sebahagian daripada elaun bulanan kepada Tabung Bantuan Bencana COVID-19, demikian umum Ketua Penerangan PAS Kedah, Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Menurut beliau, sumbangan tersebut ekoran keputusan kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau ‘total lockdown’ di seluruh negara berkuatkuasa 1 hingga 14 Jun ini bagi fasa pertama.
“(Sebanyak) 50 peratus dari gaji bulan Jun akan kami sumbangkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) manakala 20 peratus lagi akan disumbangkan kepada Tabung Bencana COVID-19 yang dilancarkan oleh PAS Pusat.
“Ini bermakna, sebanyak 70 peratus daripada elaun bulan Jun kami akan sumbangkan kepada tabung untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Saya juga menyeru kepada golongan yang berkemampuan agar sama-sama membantu rakyat yang terkesan. Di kala ini, jangan hanya berbicara perihal tangan yang menerima tetapi juga jadilah juga golongan yang memberi.
“Biarlah di kala sukar ini, kita harungi cabaran bersama dan semoga Allah terima segala amal soleh dan permudahkan segala urusan,” ujarnya yang juga Pengerusi Kelab Penyokong ADUN Kerajaan.
Terdahulu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa potongan gaji dan elaun telah dibuat anggota Exco Kerajaan Negeri tanpa membuat hebahan terbuka sebagai sumbangan ibadah untuk membantu rakyat.
Malah menurutnya, kebanyakan ADUN baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang menghabiskan hingga 80 dan 90 peratus elaun mereka untuk membantu rakyat yang terkesan dengan situasi semasa ketika ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan bahawa semua Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji untuk tempoh tiga bulan yang mana turut dilakukan juga pada tahun lalu.
Malah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga mengumumkan sumbangan dari elaun para penjawat awam kepada Tabung Bantuan Bencana COVID-19 kecuali dalam kalangan ‘frontliners‘.
PAS Kedah mempunyai seramai 15 ADUN di negeri ini. – HARAKAHDAILY 1/6/2021












