Tahniah Datuk Ayub Khan dan Polis Johor

- Advertisement -

SAYA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Ayub Khan dan kontinjen Polis Johor dalam serbuan besar-besaran melibatkan agensi penguatkuasa sindiket jenayah terancang Geng Nicky semalam.

Hiruk-pikuk isu SOP dan kompaun yang berlegar di media sosial kebelakangan ini sebenarnya hampir menenggelamkan kejayaan besar Polis Johor dalam serbuan fasa kedua Ops Pelican 3.0.

- Advertisement -

Serbuan besar-besaran tersebut berjaya mengheret 10 orang pegawai kanan PDRM dengan dua daripadanya berpangkat superitenden dan inspektor daripada Bukit Aman serta dua orang pegawai SPRM.

Pendedahan tersebut secara tidak langsung menggambarkan rasuah begitu berakar dalam kalangan penguatkuasa pada hari ini mendorong pembanterasan jenayah sering kali menemui jalan buntu.

Usaha yang dilakukan beliau dan Polis Johor ketika ini perlu mendapat sokongan dan dukungan yang padu daripada masyarakat seluruh negara.

Nyata tindakan pendedahan terhadap sindiket jenayah sehingga ke akar umbi ini bukan suatu tugas mudah kerana ia melibatkan kelompok golongan atasan daripada agensi penguatkuasaan sendiri.

Namun, ia wajar diteruskan demi keamanan dan kesejahteraan mendatang. Saya mendoakan agar beliau terus diberikan kekuatan memimpin dan meneruskan usaha membanteras jenayah rasuah dan salah laku yang berlaku di negara ini. Rakyat Malaysia bersamamu, Datuk Ayub Khan insya-Allah.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan merangkap YDP PAS Kawasan Batu – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -