
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يُفطِرُ علَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَن يُصَلِّيَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِّن مَّاءٍ
“Daripada Anas bin Malik R.A katanya, “Rasulullah S.A.W berbuka dengan kurma segar sebelum melaksanakan solat. Jika tidak ada maka Baginda berbuka dengan kurma kering. Bila tidak ada juga, Baginda akan berbuka dengan beberapa teguk air.””
(Sunan Abu Daud, no.2356)
Pengajaran Hadis:
1. Rasulullah S.A.W ingin mendidik umatnya agar tidak menjadikan berbuka puasa itu sebagai pesta makan untuk melepaskan geram selepas menahan lapar dan dahaga.
Berbuka puasa juga termasuk perkara ibadat yang bukan hanya untuk memenuhkan perut sahaja, sedangkan Rasul S.A.W cuma berbuka dengan beberapa biji buah kurma, kemudian Baginda terus solat Maghrib.
2. Selain kurma, air juga memainkan peranan penting untuk berbuka puasa.
Hal yang sama turut disebut dalam riwayat yang lain daripada Sulaiman bin Amir ad-Dhobbiy R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى مَاءٍ فَإِنَّهُ طَهُورٌ
“Apabila salah seorang dari kamu berbuka, maka berbukalah dengan kurma. Jika tidak menemukannya, berbukalah dengan air kerana air itu membersihkan.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
3. Ini adalah Sunnah Nabi S.A.W yang sepatutnya kita ikuti berbanding dengan amalan yang biasa berlaku dalam masyarakat iaitu makan terlalu banyak ketika berbuka puasa sehingga lewat dan rasa berat untuk mendirikan solat Maghrib kerana kekenyangan.
YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 28/4/2021











