Dilema kerajaan: Melakukan yang betul atau popular

- Advertisement -

DI ANTARA masalah utama yang dihadapi oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) adalah kegagalan memungut yuran penyelenggaraan di pembangunan berstrata mereka. Akibatnya penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan. Sinking fund juga tidak dapat dipungut dan kerja-kerja membaikpulih seperti bumbung yang bocor atau lif yang rosak tidak dapat dilakukan.

Ketika saya adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Kerajaan Negeri Selangor dari 2008 hingga 2013, JMB dan MC sering membangkitkan masalah ini. Maka satu kempen telah dilaksanakan untuk menggalakkan pemilik-pemilik membayar tetapi setelah beberapa tahun masih terdapat mereka yang enggan membayar. Satu tindakan yang lebih drastik diperlukan dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menyediakan prosedur untuk membantu JMB dan MC membawa mereka yang terlibat ke mahkamah. 

- Advertisement -

Walau bagaimanapun pegawai-pegawai LPHS bertanya sama ada saya serius kerana pilihan raya dijangka berlaku pada bila-bila masa. Ketika itu tahun 2012 dan pilihan raya umum perlu diadakan pada tahun 2013. Tetapi saya bertegas untuk meneruskannya kerana kempen telah dilaksanakan selama empat tahun. Alhamdulillah ramai yang mula membayar yuran tertunggak setelah menerima notis untuk mengheret  mereka ke mahkamah. Tidak ada demonstrasi atau memorandum.

Pengalaman ini merupakan satu contoh dilema yang dihadapi oleh mana-mana kerajaan. Sama ada untuk melakukan yang betul atau melakukan yang popular. Kerajaan negeri perlu membantu JMB dan MC tetapi ini bermakna berhadapan dengan risiko diserang. Kami boleh menangguhkan tindakan sehingga selepas pilihan raya tetapi ia tidak adil kepada JMB dan MC yang telah menunggu begitu lama.

Sebenarnya tidak susah bagi saya untuk membuat keputusan kerana populariti kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor ketika itu begitu tinggi. Tetapi adakah saya akan melakukan perkara yang sama jika kedudukan kami ketika itu terumbang-ambing? Adakah saya akan membenarkan LPHS meneruskan tindakan sekiranya terdapat pembangkang yang kuat di Selangor ketika itu?

Sebuah kerajaan perlu mendahulukan kepentingan rakyat. Walaupun tidak ada orang politik yang akan mengenepikan pertimbangan politik namun kepentingan rakyat tidak seharusnya dikorbankan. Masalahnya terdapat kerajaan yang takut melakukan sesuatu yang perlu kerana ia tidak popular dan takut kehilangan sokongan. Kepentingan rakyat telah diabaikan kerana kepentingan politik.

Tetapi ini tidak bermakna kerajaan tidak perlu mendengar kepada rintihan rakyat biasa. Zaman di mana kerajaan itu sentiasa betul telah lama berakhir. Pemimpin yang baik perlu lebih banyak mendengar dari bercakap. Lebih payah untuk mendengar dari bercakap. Kerajaan tidak boleh bersifat angkuh dan mengenepikan pandangan rakyat.

Memang benar terdapat rakyat yang tidak dapat melihat keperluan-keperluan jangka panjang atau kesan-kesan yang menyeluruh. Terdapat rakyat yang didorong oleh emosi akibat pengalaman peribadi mereka atau pengalaman kelompok mereka. Terdapat rakyat yang terperangkap dengan provokosi mereka yang tidak memikirkan kepentingan rakyat. Tetapi ini tidak bermakna pandangan atau kehendak rakyat ditolak sepenuhnya. 

Pemimpin kerajaan perlu turun ke bawah untuk menyelami hati rakyat. Kesusahan dan kepayahan rakyat perlu mereka fahami. Jangan hanya meminta rakyat memahami kedudukan kerajaan. Apabila Perancis dikalahkan oleh Vietnam di Dien Bien Phu dalam tahun 1954, seorang jeneral Perancis berkata mereka kalah kerana jeneral-jeneral Vietnam makan makanan dan memakai pakaian yang sama seperti tentera-tentera biasa. 

Ketika pandemik Covid-19, kerajaan-kerajaan di dunia berhadapan dengan dilema ini. Untuk mengawal pandemik mereka perlu melaksanakan langkah-langkah yang amat diperlukan tetapi tidak popular. Di negara kita, langkah-langkah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), larangan merentas negeri atau denda yang tinggi untuk mereka yang enggan mematuhi SOP adalah tidak popular tetapi perlu untuk mengawal pandemik ini. 

Kerajaan boleh menjadi popular jika mereka membenarkan rakyat merentas negeri tanpa had untuk berhari raya tetapi risikonya adalah akan wujud kluster-kluster baharu. Kerajaan boleh menjadi popular jika tidak bersikap tegas terhadap mereka yang melanggar SOP tetapi keadaan akan menjadi tidak terkawal. Walau bagaimanapun setiap kes adalah berbeza dan memerlukan penilaian yang teliti. Sila juga melihat dari perspektif rakyat.

Walau bagaimanapun kerajaan memiliki satu kelebihan iaitu kuasa media. Walaupun kita berada di dalam era media sosial namun media kerajaan yang tradisional masih berpengaruh. Ia adalah peluang bagi mereka untuk mendidik rakyat. Ketika isu tindakan mahkamah kepada mereka yang enggan membayar yuran di Selangor dahulu, kesan kegagalan mengutip yuran ini telah menjadi naratif yang diulang-ulang sebelum tindakan dilakukan. Akhirnya masyarakat dapat menerima tindakan ke atas mereka yang ingkar.

Saya bersyukur kerana kerajaan negeri ketika itu memiliki strategi penerangan yang berkesan walaupun kami tidak menguasai media arus perdana atau memiliki peruntukan yang banyak. Mana-mana kerajaan perlu melakukan perkara yang sama apabila terpaksa melaksanakan polisi-polisi yang tidak popular. Tetapi sekiranya memiliki peruntukan berjuta-juta ringgit dan masih gagal memberi kefahaman kepada rakyat maka ini bermakna mereka yang bertanggungjawab gagal di dalam tugas mereka. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

Penulis ialah Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH).

- Advertisement -