Pedoman Al-Quran: Beradab dengan Rasulullah SAW

Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob
- Advertisement -

PENGHAYATAN Ramadan kali ini menfokuskan perihal akhlak dan tasauf yang menjadi tuntutan Islam dalam membangunkan muslim yang beriman dan bertakwa. Ayat-ayat suci Al-Quran sarat dengan seruan agar manusia saling mengutamakan adab serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Dalam juz 1 kali ini, penghayatan lebih tertumpu kepada adab terhadap baginda Rasulullah SAW. Orang-orang Yahudi suka mengejek dan memperli Nabi SAW dengan pelbagai perkataan yang tidak sewajarnya. Ketika mereka mendengar kaum muslimin menggunakan perkataan Rã’ina kepada Nabi, lantas mereka turut menggunakannya tetapi dengan tujuan untuk mengejek Nabi. Lantas Allah SWT menegur sikap sahabat ketika itu agar tidak menggunakan perkataan yang boleh menyebabkan golongan lain memandang rendah serta mengejek Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

- Advertisement -

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقُولُوا۟ رَ ٰ⁠عِنَا وَقُولُوا۟ ٱنظُرۡنَا وَٱسۡمَعُوا۟ۗ وَلِلۡكَـٰفِرِینَ عَذَابٌ أَلِیمࣱ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu katakan (kepada Muhammad): Rã`ina, tetapi katakanlah: Unzhurna, dan dengarlah. Dan bagi orang-orang kafir seksaan yang pedih”. (Al-Baqarah: 104)

Perkataan Rã’ina membawa maksud ‘Berilah perhatian kepada kami’ dan ia digunakan ketika sesetengah sahabat meminta Rasulullah SAW mengulangi pengajian yang telah diajar supaya mereka tidak terlupa. Manakala golongan Yahudi menggunakan perkataan ini dengan maksud ‘Kebodohan yang amat sangat’ sebagai suatu ejekan kepada Rasulullah SAW.

Melihat kepada penghinaan Yahudi terhadap Nabi SAW, Allah SWT melarang orang beriman menggunakan perkataan berkenaan sebagai suatu adab terhadap Rasulullah dan menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada sesuatu yang membuka jalan yang tidak baik kepada Islam dan Rasulullah SAW. Oleh itu, Allah SWT menyuruh supaya sahabat-sahabat menukar perkataan Rã’ina kepada Unzhurna yang juga sama ertinya dengan Rã’ina. Walaupun perkataan itu pada asasnya membawa makna baik, ia dilarang kerana tasyabbuh dengan percakapan orang Yahudi yang menggunakannya dengan maksud yang tidak baik.

Dalam hal ini Rasulullah SAW ada bersabda:

لاَ يَبْلُغُ الْعَبْدُ أَنْ يَكُوْنَ مِنَ الْمُتَّقِيْنَ حَتَّى يَدَعَ مَا لاَ بَأْسَ بِهِ حَذَرًا لِمَا بِهِ الْبَأْسُ

Maksudnya: “Seseorang hamba itu tidak mencapai kedudukan orang bertakwa sehinggalah dia meninggalkan sesuatu yang tiada apa-apa permasalahan (tidak berdosa) demi untuk menghindari perkara yang membawa dosa”. (Riwayat Tirmizi)

Umat Islam mestilah berhati-hati dalam menggunakan perkataan yang boleh jadi menimbulkan kesan yang tidak baik kepada Islam tanpa disedari. Segala perkataan yang boleh membawa kepada sesuatu yang tidak elok kepada Allah, Rasulullah dan Islam adalah dilarang apatah lagi jika perbuatan itu jelas menghina ataupun menentang tuntutan Islam.

Persoalan tasyabbuh dengan golongan Yahudi, Nasrani dan barat yang membawa kepada kerendahan Islam adalah dilarang dalam Islam. Islam sangat mementingkan persoalan akhlak dalam diri umat Islam supaya mereka lahir sebagai para daie yang berakhlak dengan akhlak Islam tanpa menciplak atau meniru gaya hidup daripada barat. Islam hendaklah tertegak dengan ketuanan dan keizzahannya dan bukan dengan campur aduk perkataan serta ideologi luar.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
01 Ramadhan 1442/13 April 2021 – HARAKAHDAILY 13/4/2021

- Advertisement -