
KUANTAN: Polis menahan dua beranak yang dipercayai terbabit dengan kegiatan mengedar dadah jenis syabu di sekitar Pahang sejak dua bulan lepas, dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Bentong-Karak, Bentong kira-kira 190 kilometer dari sini, Ahad.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata bapa dan anak berumur 58 dan 28 tahun itu ditahan pada pukul 8.30 malam, dan polis turut merampas syabu dianggarkan seberat 9.32 kilogram daripada mereka.
Beliau berkata walaupun kedua-dua beranak itu tidak bekerja, namun kehidupan mereka dilihat cukup mewah, malah memiliki tiga buah kereta import termasuk Toyota Vellfire.
Menurutnya suspek yang berasal dari Kelantan dan menetap di Jerantut, kira-kira 180 kilometer dari sini, ditahan hasil maklumat orang ramai yang curiga dengan kehadiran suspek ke kawasan berkenaan dengan menaiki kereta Proton Waja.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemukan 10 bungkusan plastik teh cina bewarna hijau berisi serbuk dan ketulan jernih disyaki syabu dianggarkan bernilai RM360,000 yang disusun dalam guni putih di tempat letak barang kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Mohd Azam Ab Razak.
Abd Jalil berkata siasatan yang dijalankan polis membawa kepada penemuan kereta Toyota Vellfire, Honda Jazz dan Volkswagen Wald yang dipercayai dibeli hasil daripada jualan dadah, di samping wang tunai RM40,112 ditemui di rumah suspek.
“Kita percaya suspek mendapatkan bekalan dari Lembah Klang untuk diedarkan di seluruh Pahang dengan dadah yang dirampas baru-baru ini dipercayai boleh dijual kepada 18,655 penagih,” katanya.
Abd Jalil berkata kedua-dua suspek kini direman sehingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – BERNAMA




















