Mangsa ribut dapat bantuan segera kerajaan negeri

- Advertisement -

YAN: Mangsa ribut di beberapa kampung di Yan mendapat bantuan segera sebanyak RM1,000 setiap keluarga daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan sebanyak RM6,000 setiap rumah akan diagihkan dalam tempoh terdekat setelah laporan lengkap diterima Pejabat Daerah Yan.

“Saya berharap urusan tersebut dapat disegerakan untuk membantu mangsa membaiki kerosakan dan lain-lain berikutan kejadian tersebut,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Kampung Sungai Kering hari ini.

- Advertisement -

Pada kejadian semalam sebanyak 19 rumah penduduk di Kampung Sungai Kering, Kampung Sedaka, Kabu 10, Selekoh, Sungai Dedap dan Kampung Hutan Gelam rosak dilanda ribut.

Kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 3 petang turut menyebabkan setor Masjid Kampung Sungai Kering mengalami kerosakan.

Menteri Besar turut merakam ucapan takziah kepada semua penduduk yang terlibat.

“Walau bagaimana pun syukur Alhamdullillah kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku,” kata beliau.

Beliau turut berharap penduduk yang tinggal di kawasan yang menjadi laluan angin kencang sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan.

Adun Sungai Limau Ustaz Mohd Azam Abdul Samat turut menyampaikan bantuan segera kepada mangsa ribut petang semalam.

Pagi tadi pimpinan PAS kawasan yang diketuai Ustaz Musaddak Ahmad bersama Ahli Parlimen Jerai Sabri Azit juga menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut. – HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -