Jika benar dakwaan Anwar, buatlah laporan polis

Megat Muhammad Faris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Anak Watan Nasional, Megat Muhammad Faris meminta Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim kemukakan bukti berhubung dakwaan ahli parlimen pembangkang dibeli dan diugut.

Ujar Megat, jika dakwaan itu benar beliau meminta pihak berkenaan membuat laporan polis.

Dakwaan Anwar itu katanya disampaikan dalam keadaan yang kurang sesuai apatah lagi pelbagai ayat negatif diutarakan Anwar seperti mendera rakyat, menularnya rasuah dan keangkuhan kuasa seolah menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional zalim kepada rakyat.

Bagaimanapun, pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung inisiatif kerajaan kepada rakyat di bawah inisiatif ke-15 Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) pada Rabu lalu telah mematahkan tohmahan Anwar.

- Advertisement -

“Pada hari ini menjadi buah mulut rakyat bahawa kerajaan hari ini lebih membantu dan mendengar denyut nadi kesusahan rakyat. Itu menjadi keutamaan dalam kerajaan hari ini.

“Saya ingin nyatakan jika ada bukti yang kukuh menyatakan ada ahli parlimen dibeli dan diugut, kita mohon supaya mereka laporkan pada polis dan pihak berwajib.

“Jangan hanya cuba menuding jari kepada orang lain atas kesalahan diri sendiri,” kata Megat dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Megat menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah ketandusan pemimpin yang hebat selepas ramai kalangan mereka keluar dari parti sekali gus menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Kata Megat lagi, tindakan itu menyebabkan PKR hampir lumpuh walaupun bukan secara keseluruhan namun sebahagian besar daripada pemimpinnya telah hilang.

“Saya yakin sebarang agenda memburukkan kerajaan sedia ada dilihat jelik di mata kami yang yakin kerajaan hari ini lebih prihatin soal rakyat,” ujar Megat yang juga merupakan AJK Biro NGO dan Belia Armada Nasional.

Anwar dalam sidang medianya pada Selasa lalu menegaskan lima ahli Parlimen Pakatan Harapan iaitu Natrah Ismail (Sekijang), S Kesavan (Sungai Siput), Awang Husaini Sahari (Putatan), M Karuppaiya (Padang Serai) dan Michael Teo (Miri) menerima ugutan atau pelawaan dengan pelbagai sogokan untuk menarik sokongan ke Perikatan Nasional.

Ujar Anwar tindakan itu satu penipuan dan penyalahgunaan kuasa dengan memberi tekanan kepada ahli parlimen pembangkang. – HARAKAHDAILY 20/3/2021

- Advertisement -