MKN perlu bendung pertambahan rumah di Bukit Malut

- Advertisement -

ALOR SETAR: Program Perumahan Rakyat (PPR) di Ulu Melaka dan Kuah di Langkawi tiada kaitan dengan projek perumahan yang dicadangkan kepada penduduk Bukit Malut.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PPR itu diberi keutamaan kepada penduduk Langkawi yang layak dan bukan untuk penduduk Bukit Malut.

“Bukit Malut dikendalikan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya pada rancangan Hello YB, LANGKAWIfm hari ini.

Baru-baru ini muncul khabar angin kononnya perumahan di Ulu Melaka disediakan untuk penempatan baharu penduduk Bukit Malut yang dikaitkan dengan pendatang dari Myanmar.

- Advertisement -

Sebuah akhbar sebelum ini melaporkan lebih 10,000 warga negara Myanmar mendiami kawasan Bukit Malut, yang dimiliki kerajaan negeri.

Oleh itu Sanusi menggesa MKN mengambil tindakan segera untuk membendung pertambahan pembinaan rumah di lokasi berkenaan (Bukit Malut) yang dilihat semakin aktif.

“Mereka buat rumah ikut suka. Sekarang sudah ada kira-kira 1,400 keluarga. Harap MKN segera bincang dengan pihak LADA untuk cari tapak yang sesuai,” ujarnya.

Sebelum ini Sanusi menjelaskan MKN akan menyediakan pelan dan prasarana di dua tapak pembinaan kawasan baharu untuk penduduk terbabit.

“Mereka ini bukan warga asing tetapi rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan.

“Kalau tidak cepat bendung, penempatan itu akan merebak hingga ke kawasan laut. Katalah satu keluarga ada empat orang, bayangkan berapa jumlahnya,” katanya.

Menurutnya juga Kerajaan Kedah komited mempastikan hanya penduduk yang layak sahaja diberi keutamaan memperolehi PPR.

Kata beliau projek perumahan itu di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurutnya kerajaan negeri hanya menerima dan memproses permohonan yang dikemukakan penduduk.

“Tetapi kadang kala berlaku ‘ribut’ kerana rekod kerajaan negeri dan KPKT tidak sama. Ia juga berlaku di Jerlun dan Kampung Kilat di Alor Setar,” ujarnya.

Menurutnya difahamkan terdapat penerima rumah PPR daripada dalam kalangan mereka yang sudah ada rumah sendiri.

Kata beliau perkara itu tidak wajar berlaku kerana masih ramai pemohon yang layak tidak mendapat hak mereka.

Beliau turut menyarankan pembinaan 500 unit PPR di Ulu Melaka dan Kuah diberi keutamaan kepada penduduk tempatan Langkawi yang layak. – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -