Tebing runtuh: Pusat lulus peruntukan khas RM60 juta

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan peruntukan khas sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pengambilan balik tanah, pembinaan struktur penahan tebing di Kampung Pohon Chelagi.

Selain itu kerja-kerja pembaikan cerun, pengorekan sungai, pembinaan rumah pam dan struktur river-training.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan pusat dan negeri akan memastikan projek berkenaan dilaksanakan secepat mungkin supaya disiap sebelum menjelang Monsun Timur Laut akhir tahun ini.

Katanya, Monsun Timur biasanya bermula pada Oktober setiap tahun, dijangka akan membawa hujan lebat dan menyebabkan paras air Sungai Kelantan menjadi tinggi dan aliran deras dikhuatiri berupaya memudaratkan lagi keadaan tebing sungai.

- Advertisement -

“Kita sasar projek ini boleh siap pada Oktober atau November, sebab sekiranya hujung tahun musim monsun datang, kita khuatir apa yang dibina hilang sehingga menyebabkan kerugian lebih besar.

“Kabinet mengambil serius berhubung perkara ini malah bersetuju projek ini perlu disegerakan. Kita lihat kawasan ini tidak selamat lagi untuk penduduk tinggal.

“Kita jangka tempat ini akan dijadikan kawasan rekreasi,” katanya selepas mengadakan lawatan di lokasi kejadian tebing runtuh di Dataran Air Muleh, Kampung Pohon Chelagi hari ini.

Pada 17 Februari lepas lapan rumah dan sebuah premis perniagaan musnah akibat kejadian tebing sungai runtuh. Kejadian itu turut menjejaskan 97 penduduk di kawasan tersebut.

Tuan Ibrahim juga berkata, projek tersebut akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Insya-Allah satu denai sungai turut dicadang untuk dibangunkan supaya boleh mewujudkan tarikan baharu dan mengindahkan lagi Pasir Mas sebagai destinasi pelancongan,” ujarnya.

Kata beliau juga kerajaan bercadang memberi pampasan kepada penduduk yang terjejas dan perkara itu akan dibincang bersama kerajaan Persekutuan dan negeri.

Hadir sama pada lawatan itu anggota-anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Hanifa Ahmad, Dato’ Sr Azami Mohd Nor dan ahli parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari. – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -