Khitan: SIS jangan cuba kelirukan masyarakat

Ustazah Asmak Husin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sisters In Islam (SIS) sekali lagi cuba mengelirukan masyarakat dengan menyamaratakan istilah ‘khitan wanita’ atau female genital mutilation (FGM).

Senator Ustazah Asmak Husin menegaskan Fatwa Muzakarah Kebangsaan sejak tahun 2009 telah memutuskan bahawa amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam.

Katanya, fatwa itu juga menjelaskan umat Islam juga amat mementingkan keselamatan umatnya dan memberikan kelonggaran sekiranya sesuatu amalan atau perbuatan itu boleh mendatangkan kemudharatan pada diri.

Sehubungan itu, selaras dengan pandangan jumhur ulamak, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib.

- Advertisement -

Menurut beliau walau bagaimanapun, sekiranya ia boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan.

Beliau yang juga AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia memberi peringatan kepada SIS jangan sesekali memetik pandangan secara serpihan tanpa mengambil kira perbincangan menyeluruh untuk menyokong hujah dan pendirian SIS yang secara nyata telah menolak khitan wanita tanpa mengira hukum, istilah dan amalan dalam masyarakat Melayu Islam secara komprehensif.

Tegas beliau, jujurlah dalam penyelidikan dan kajian sekiranya benar-benar ingin membawa nama dan memperjuangkan Islam.

“Sebagaimana disebut dalam fatwa, kita tidak pernah mengabaikan isu kemudaratan dan kebajikan serta hak asasi kanak-kanak.

“Advokasi kami jelas, khitan wanita dibenarkan tetapi perlukan sokongan seperti latihan, garis panduan, kawalan daripada pihak berkuasa untuk memastikan ia dijalankan dengan prosedur yang tidak memudaratkan dan mengikut kaedah syarak. Perbezaan yang jelas antara kami dan SIS,” tegasnya.

Pengurus Program untuk Advokasi, Perkhidmatan Undang-Undang dan Penyelidikan Sisters in Islam dalam forum ‘Seminar Sunat Perempuan: Mengenal dan #Pikirbalik Amalan Turun-Temurun’, Shareena Sheriff mendakwa khitan perempuan adalah satu pelanggaran hak asasi, kesihatan dan integriti kanak-kanak perempuan dan wanita.

Dalam kenyataan tersebut beliau mewakili SIS mencadangkan supaya khitan perempuan dihapuskan menjelang tahun 2030. – HARAKAHDAILY 10/2/2021

- Advertisement -