
KUALA LUMPUR: Peranan industri sawit bukan hanya menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat, tetapi ia juga adalah salah satu penyumbang pendapatan utama negara.
“Pada tahun 2020, industri minyak sawit Malaysia menjana sekitar RM72.8 bilion melalui ekspot minyak sawit dan produk-produknya ke pasaran antarabangsa,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Menurutnya, jumlah itu jauh lebih tinggi iaitu kira-kira 14.18 peratus berbanding RM63.73 bilion yang dicatatkan pada tahun 2019 dan tertinggi semenjak tahun 2017 dengan RM77.9 bilion.
Katanya, status industri sawit sebagai salah satu daripada empat penyumbang terbesar ekonomi di Malaysia selama 15 hingga 18 tahun kebelakangan ini membuktikan bahawa industri minyak sawit sangat penting kepada negara kecil yang membangun seperti Malaysia.
Menurutnya lagi, penanaman sawit secara komersial di Malaysia mula menjadi rancak terutamanya pada tahun 1960-an lalu berkembang menjadi satu industri yang sangat penting kepada negara.
Jelasnya, genap 104 tahun kemudiannya, Malaysia hari ini dikenali sebagai negara pengusaha dan pengeksport minyak sawit terkemuka di dunia di mana minyak sawit dan produk-produknya boleh ditemui di lebih 70 buah negara di seluruh dunia.
Tambah beliau, dalam senario tempatan, peranan minyak sawit terhadap pembangunan sosioekonomi di negara ini telah didokumentasikan dengan baik.
“Saya pasti anda semua mengetahui kisah FELDA yang telah mengambil golongan miskin di luar bandar sebagai pekebun kecil untuk mengusahakan tanaman sawit dalam skim pembangunan tanah-tanah rancangan pada tahun 1960-an,” katanya sempena Pelancaran Maya Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’, hari ini.
Ini, ujarnya diikuti dengan penubuhan skim pembangunan tanah yang serupa seperti oleh FELCRA, KESEDAR dan SALCRA yang meluaskan jangkauan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan miskin ini.
Hari ini, katanya kira-kira 450,000 pekebun kecil dan keluarga mereka bergantung pada tanaman sawit ini untuk hidup.
Beliau juga menjelaskan, pelancaran maya Kempen Sawit Anugerah Tuhan itu adalah berlainan berbanding acara-acara yang pernah diadakan oleh pihak kementerian sebelum ini.
“Adalah menjadi tanggungjawab kami menjaga SOP yang wajib dipatuhi, seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat,” katanya.
Dengan itu, uajr beliau dalam melaksanakan program ini dalam era norma baharu, kebanyakan aktiviti berkaitan Kempen Sawit Anugerah Tuhan akan diadakan dalam talian dan juga secara maya.
Sehubungan itu, ujarnya satu laman sesawang khas telah disediakan untuk tujuan tersebut iaitu www.sawit.com.my.
Beliau menyeru orang ramai supaya melayari laman sesawang itu untuk mendapatkan maklumat tentang minyak sawit Malaysia serta mengikuti perkembangan semasa aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa kempen itu.
Di samping itu, tambahnya lagi orang ramai juga boleh menyertai peraduan dalam talian Sawit Anugerah Tuhan di laman sesawang itu untuk menilai pengetahuan dan kefahaman mereka tentang minyak sawit Malaysia di samping berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan. – HARAKAHDAILY 10/2/2021




















