
SESEBUAH perniagaan itu berjaya apabila mempunyai kualiti pengurusan yang cekap, prihatin terhadap kakitangan, harta syarikat dan segala amanah yang diletakkan di atas bahu kumpulan pengurusan itu, melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
Inilah yang dilakukan oleh pengurusan Duyung Marina Resort (DMR) yang berani turun ke bawah, membuka gerai nasi bajet dengan strategi serampang dua mata, iaitu memberi peluang rakyat marhaen menikmati makanan lazat, berkhasiat, kualiti hotel pada harga murah dan juga mengelakkan pembuangan pekerja.
Menurut Pengurus Besar DMR, Encik Wan Mohd Faizul Wan Abas, DMR semenjak 3 Februari lalu, telah membuka gerai di kawasan mercu tanda Jambatan Sultan Mahmud, berhampiran dengan sebuah stesen minyak.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan diterima daripada pelanggan yang beratur seawal jam 11 pagi bagi menikmati hidangan kami seperti ayam goreng berempah, ikan goreng, gulai lemak ikan masin bersama nanas, sayur goreng, sambal telur dan produk terkini DMR, sambal tenggiri limau dengan harga serendah RM3.
Hidangan ini disediakan bagi golongan B40, tanpa kami berkompromi dalam isu kelazatan, khasiat dan juga kualiti kerana inilah yang menjadi pegangan kami semenjak dahulu di resort kami.
Apa kualiti makanan yang dihidangkan di resort, itulah yang kami sediakan di sini, jadi anda boleh menikmati kesedapan makanan kami yang disiapkan oleh chef terkemuka dengan harga yang sangat mampu,” terang beliau.
Kata Wan Mohd Faizul lagi, dalam masa banyak hotel dan resort yang telah menutup operasi mereka terkesan kerana COVID-19, atas sikap keprihatinan yang tinggi, pihak DMR tidak sanggup untuk mengambil keputusan yang bakal memberikan kesan negatif kepada 156 kakitangan dan keluarga mereka.
Maka idea ini adalah bagi mempertahankan perniagaan DMR, paling kurang bagi jangka masa pendek sehingga tamat PKP, supaya kedua pihak pengurusan dan kakitangan berganding bahu merasa susah senang ketika ujian pandemik ini.
Beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa DMR hanya akan menjejaskan pendapatan peniaga kecil lain dan menegaskan bahawa, kakitangan bawahan beliau juga memerlukan perlindungan dan kebanyakan mereka adalah B40, sama seperti peniaga kecil yang lain.
“Soal rezeki, ia adalah ketentuan Allah, kakitangan saya juga ramai dari golongan B40, jadi biarlah mereka bersaing secara sihat ketika semua pihak terkesan dengan ujian ini dan tidaklah bermaksud DMR mahu menutup periuk nasi orang lain.
“Lagipun keuntungan ini hanyalah sedikit, lebih kurang 10 peratus sahaja, ia lebih kepada kelangsungan hidup kakitangan DMR, tiada lagi istilah malu atau menurunkan taraf DMR kerana jika tiada pendapatan, bagaimana kita mahu memberikan gaji,” ujar beliau.
Dalam pada itu juga, DMR juga membuka ruang kebajikan bagi agensi, korporat, NGO atau orang perseorangan yang mampu untuk membeli nasi bajet ini bagi disumbangkan seperti orang miskin, pekerja barisan hadapan atau sesiapa sahaja.
Selain daripada nasi bajet ini, DMR masih mengekalkan produk ayam panggang Marina mereka yang boleh didapati dengan cara ‘Cash On Delivery’ dan ada juga pakej bilik juga disediakan secara beli satu, percuma satu yang akan berakhir pada 18 Februari ini. Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi 096277777.
Untuk rekod, tahun lalu, DMR, salah sebuah anak syarikat Kerajaan Terengganu yang bertaraf empat bintang, telah berjaya mencatatkan keuntungan pertama mereka semenjak beroperasi kira-kira 15 tahun lalu, melakukan puluhan ribu penjimatan sebulan serta berjaya memberikan bonus kepada kakitangan. – HARAKAHDAILY 7/2/2021
























