Jendela di Kelantan diperuntuk RM747 juta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan RM747 juta kepada Kelantan bagi melaksanakan Program Jalinan Digital Negara (Jendela).

Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB), Mohd Roslan Mohd Zin berkata, di bawah Jendela sebanyak 77 pencawang telekomunikasi baru akan dibina seluruh Kelantan.

Selain itu sebanyak 934 pencawang telekomunikasi akan dinaiktaraf daripada rangkaian 3G kepada 4G sehingga akhir tahun ini.

- Advertisement -

“Selain itu sebanyak 73,521 premis turut dipasang dengan rangkaian gentian optik. Program Jendela dijangka bermula Mac ini.

“Ia selari dengan Pelan Hala Tuju ICT Negeri, melalui Teras Strategik Pembangunan Infrastruktur dan Fizikal ICT iaitu memperluaskan kemudahan ICT dan peningkatan kadar penembusan jalur lebar,” katanya di sini.

KIGSB merupakan anak syarikat kerajaan negeri di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi membangun teknologi maklumat dan komunikasi ICT Kelantan.

Mohd Roslan Berkata, KIGSB berperanan dan bertanggungjawab merancang, mengurus, melaksana, mengkoordinasi serta memantau pelan hala tuju dan pembangunan sektor itu.

Menurutnya lagi dengan pelaksanaan program itu akan memberi manfaat kepada dua juta penduduk Kelantan, agensi kerajaan dan penyedia perkhidmatan internet.

Pelaksanaan Jendela memberi fokus kepada empat sektor seperti kediaman penduduk, bangunan kerajaan, kawasan perindustrian dan institusi pendidikan.

Pada akhir Ogos lepas kerajaan mengumumkan Jendela di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi menyediakan liputan jalur lebar komprehensif serta berkualiti tinggi.

Pelaksanaan Jendela dengan peruntukan bernilai RM9.4 bilion itu akan dilaksanakan dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan liputan jalur lebar daripada 3G kepada 4G.

Mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25 Mbps kepada 35 Mbps serta 7.5 juta premis akan mendapat akses jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabite.

Ia juga akan membabitkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pengukuhan rangkaian 4G serta memantapkan asas bagi pelaksanaan rangkaian 5G.

Manakala fasa dua membabitkan peralihan infrastruktur kepada rangkaian 5G, selepas platform kukuh dalam fasa satu dapat dicapai, selaras dengan perancangan RMK12. – HARAKAHDAILY 5/2/2021

- Advertisement -