UMMAH gesa Tommy Thomas disiasat segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengadakan laporan polis di seluruh negara berhubung dakwaan Tan Sri Tommy Thomas menerusi buku memoir ‘My Story: Justice In the Wilderness’.

Antara kandungan di dalam buku terbabit, Thomas memetik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersetuju untuk melantik Dato’ Seri Wan Azizah sebagai Perdana Menteri interim namun perkara itu tidak dipersetujui oleh Tun Dr Matathir Mohamad.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata Thomas tidak boleh mendedahkan maklumat sulit berkaitan negara secara semborono tanpa mendapat keizinan pihak yang mempunyai maklumat tersebut iaitu kerajaan Malaysia.

“Bagi kita penjawat awam khususnya Peguam Negara yang lebih maklum berkaitan dengan akta rahsia rasmi yang beliau tandatangani di depan Agong sendiri dalam sumpah rahsianya perlu sentiasa memelihara dan melindungi maklumat-maklumat yang diperolehi sama ada dalam bentuk lisan, cetakan, laporan dan sebagainya, itu semuanya terkandung di bawah maklumat-maklumat rahsia kerajaan,” ujar Mohd Zai.

Sehubungan itu, UMMAH mencadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis untuk menyiasat secara keseluruhan isi kandungan buku yang terkait serta laporan-laporan yang lain berkaitan dengan fakta 13 Mei, kes 1MDB dan sebagainya.

“Kita minta satu laporan penuh dibuat oleh KDN sekiranya mendapati benar-benar wujud kesilapan fakta dan juga manipulasi serta mempunyai motif, naratif yang menimbulkan kegawatan serta kesalahfaham kalangan masyarakat khususnya yang terkait dengan Agong dan 13 Mei, ini suatu perkara yang sangat besar mudaratnya kepada keselamatan dalam negara.

“Jadi kita minta jasa baik KDN sekiranya perkara ini benar-benar wujud, buku ini diharamkan daripada diterbit, dipunyai dan juga dijual di dalam negara mahupun di luar negara kerana kandungan buku ini merupakan rahsia rasmi kerajaan yang ada dalam buku tersebut.

“Ini juga sebenarnya telah melanggar prosedur mahkamah sendiri. Saya yakin dengan kearifan dan maklumnya beliau sebagai seorang peguam tahu sekiranya fakta itu salah malah tahu akan akibatnya,” ujarnya yang hadir menemani Pengerusi UMMAH Wilayah Persekutuan, Md Shukor Aziz membuat laporan polis berhubung pendedahan Thomas di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, pada hari ini.

Selain Md Shukor, Pengerusi UMMAH Melaka, Hishamuddin Abu Bakar turut membuat laporan sama, di sini.

Mohd Zai turut memaklumkan setakat ini empat laporan telah dibuat oleh UMMAH dan dijangka 15 laporan polis secara serentak akan dibuat pada hari ini sehingga esok. – HARAKAHDAILY 5/2/2021

- Advertisement -