Harga tiket naik sebab perjanjian MAS, AirAsia

Foto hiasan.
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Perjanjian kerjasama (CA) antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Berhad dalam perkongsian perkhidmatan pengangkutan udara tempatan telah menyebabkan pengguna kurang pilihan dan harga tiket yang lebih tinggi, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhujah bahawa CA antara MAS dan AirAsia yang dijalin pada 9 Ogos 2011 telah mengubah kedua-dua syarikat penerbangan itu daripada pesaing kepada rakan usaha sama.

“Pada dasarnya, kedua-dua syarikat penerbangan itu telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 yang melarang perkongsian pasaran. Pengguna menanggungnya kerana kurang pilihan untuk memilih perkhidmatan syarikat penerbangan mana yang mahu digunakan selain perlu membayar harga tiket yang lebih tinggi,” kata Lim.

- Advertisement -

Beliau berkata terdapat bukti prima facie bahawa kedua-dua syarikat penerbangan itu melanggar undang-undang berkaitan persaingan pasaran berhubung keputusan pada 2011 untuk berkongsi laluan penerbangan.

Lim berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak dalam prosiding yang berlangsung secara persidangan video aplikasi ‘Zoom.’

AirAsia dan MAS mengemukakan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2018 yang mengekalkan keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendenda kedua-dua syarikat penerbangan itu, masing-masing sebanyak RM10 juta kerana melanggar larangan perkongsian pasaran.

Menjawab soalan Lee mengenai sama ada CA harus dibatalkan setelah Akta Persaingan 2010 berkuat kuasa mulai 1 Jan 2012, peguam itu berkata tidak ada klausa dalam CA mengenai perkara itu.

“Satu lagi perjanjian tambahan dimeterai pada 2 Mei 2012, menghapus klausa mengenai perkongsian pasaran. Mereka sepatutnya menghentikan CA kerana mereka berpendapat mereka boleh memperoleh pengecualian daripada MyCC,” katanya sambil menambah bahawa tawaran untuk memfailkan permohonan pengecualian kemudian dihentikan.

Perbicaraan akan bersambung pada 19 Februari ini dengan peguam utama AirAsia Datuk Ambiga Sreenevasan dan peguam MAS Logan Sabapathy akan membalas hujah.

Kes antara MAS dan AirAsia dengan MyCC bermula pada 2014 apabila suruhanjaya itu mendapati kedua-dua syarikat penerbangan tersebut telah melanggar larangan perkongsian pasaran mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan dengan memeterai satu perjanjian berhubung perkongsian pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.

MyCC mempunyai kuasa untuk mendenda kedua-dua syarikat penerbangan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan global mereka kerana melanggar akta itu namun mengenakan penalti lebih ringan memandangkan MAS dan AirAsia ‘telah memberikan kerjasama’ semasa siasatan.

Denda RM10 juta yang dikenakan MyCC adalah berdasarkan jumlah penerbangan kedua-dua syarikat dalam tempoh empat bulan iaitu antara 1 Jan dan 30 April 2012 bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Sandakan serta Kuala Lumpur-Sibu. – BERNAMA

- Advertisement -