Perak lancar Ops Jihad pantau industri kuari

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak melancarkan Ops Jihad dan Ops Qiamullail sehingga awal pagi bagi memantau kawasan industri kuari.

Ops Gempur Kuari itu diadakan pada Selasa dan Rabu lepas diketuai Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul dengan disertai 20 pegawai penguatkuasa agensi terbabit.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, JAS negeri menjalankan operasi rondaan dan pemantauan di kawasan industri terpilih di Manjung.

- Advertisement -

Katanya, operasi dijalankan sehingga lewat malam dan awal pagi.

“Operasi memfokuskan pemantauan di premis-premis yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2009,” katanya berkongsi catatan di media sosial semalam.

Menurutnya juga laporan diperoleh kuari yang beroperasi mendapat kelulusan laporan kesan alam sekitar (EIA) untuk perniagaan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), manakala tiga lagi di tanah persendirian.

Kata beliau kesemua projek kuari terbabit beroperasi lebih 20 tahun dan mendapat kelulusan EIA.

“Bagaimanapun kita juga dapati berlaku beberapa pelanggaran syarat berkaitan antaranya gagal menyediakan sistem tertutup bagi pemindahan batuan,” katanya.

Selain itu menurut laporan media tempatan terdapat sebanyak 52 pelanggaran syarat EIA dikesan berlaku di sembilan tapak projek kuari di Manjung dan sebahagiannya di kawasan HSK Segari Melintang.

Sehubungan itu, JAS mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap syarikat terbabit.

Selain itu JAS membuka 10 kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan serta mengenakan 42 kompauan di atas pelbagai kesalahan.

Media hari ini melaporkan aktiviti kuari di Geopark Lembah Kinta yang meliputi daerah Kinta dan Kampar terjejas teruk sehingga menjejaskan 30 gua batu kapur berusia lebih 300 juta tahun.

Tiada ladang khinzir baharu

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohd Akmal berkata, tiada ladang khinzir baharu dibuka di Perak.

No more new pig farming in Perak!” ujarnya. Beliu menyertai sesi libat urus antara JAS dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak berkaitan isu pencemaran ladang ternakan khinzir.

Kata beliau, di Perak sekarang lima ladang khinzir telah ditutup.

“Kita tak benarkan ladang khinzir baharu dibuka. Pengusaha ladang ternakan hendaklah cakna terhadap kelestarian alam sekitar.

“Kriteria ladang khinzir moden mesti diusahakan seperti sistem ladang tertutup dan sistem pengurusan sifar sisa kumbahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2021

- Advertisement -