Rakyat diarah bayar cukai pintu tidak benar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan yang menyatakan rakyat diarah membayar cukai pintu rumah kediaman oleh pihak tertentu adalah tidak benar, kata Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok.

- Advertisement -

Jelasnya, cukai pintu bagi rumah yang diduduki rakyat di negeri itu akan terus ditanggung kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya, bayaran cukai pintu kediaman individu adalah dikecualikan ke atas pemilik dan ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Penyediaan notis pindaan nilaian merupakan prosedur kerja biasa yang perlu dipatuhi bagi tujuan memaklumkan premis tersebut dikenakan cukai pintu, tetapi ia dibayar kerajaan negeri,” katanya dipetik portal Terengganu Darul Iman News (TRDI News).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita bertajuk ‘292 Penghuni Rumah Pangsa Pulau Duyong Diarah Bayar Cukai Pintu’, kelmarin.

Katanya lagi, pengenaan cukai pintu bagi rumah pangsa mampu milik (RPMM) Pulau Duyong berkuatkuasa 1 Januari lalu sebagaimana notis pindaan senarai nilaian bertarikh 7 September 2020.

Walau bagaimanapun, jelasnya tuntutan bayaran akan dibuat kepada kerajaan negeri sebagaimana nilaian cukai yang telah dibuat.

“Proses kerja bagi maksud cukai pintu berjalan seperti biasa mengikut prosedur, cuma pemilik tak perlu bayar tapi kerajaan negeri yang bayar kepada MBKT.

“Untuk makluman juga, pihak majlis telah panggil individu yang membuat bantahan dan telah dijelaskan sebelum ini,” jelasnya lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa membentangkan Belanjawan 2021 memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM13 juta bagi tujuan pengecualian cukai pintu. – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -