
KOTA BHARU: Suasana di Kota Bharu hari ini agak cerah dengan sinaran matahari pagi, sebaliknya di kawasan hulu Kelantan paras sungai semakin meningkat.
Sungai Lebir, Sungai Galas dan Sungai Kelantan mencatat kenaikan paras air. Sungai Galas di Dabong mencatat paras air 38.85 meter melepasi paras merbahaya iaitu 38 meter.
Sehingga jam 10 pagi seramai 547 mangsa banjir dipindahkan di Kuala Krai, Gua Musang, Jeli dan Tanah Merah.
Menurut portal e-Banjir Kelantan di Jeli seramai 130 mangsa banjir daripada 47 keluarga dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) termasuk di Pasti Lakota seramai 23 keluarga.
Kuala Krai mencatat jumlah mangsa dipindahkan paling ramai iaitu seramai 247 orang daripada 53 keluarga.
Bagaimanapun berdasar maklumat Pusat Khidmat Dun (PKD) Manek Urai seramai 50 mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Kebangsaan Manek Urai Lama sehingga pagi tadi.
Selain itu seramai 14 lagi mangsa banjir di Kampung Mesek dipindahkan ke sebuah madrasah di kawasan berhampiran.
“Hujan sekali sekala turun agak lebat di Kampung Manek Urai Lama. Hujan lebat turun sejak semalam lagi,” kata petugas PKD Manek Urai Tarmizi Mat Jusoh.
Menurutnya portal e-Banjir juga jalan yang ditutup kepada semua kenderaan sejak semalam iaitu Pangkal Meleret ke Limau Hantu dan Jalan Kampung Pek ke Paloh Rawa.- HARAKAHDAILY 6/1/2021




















