Hayati makna ‘ithar’ saat hulur bantuan banjir

- Advertisement -

KUALA LIPIS: Skuad Prihatin Muslimat PAS Malaysia bersama Muslim Care Malaysia (MCM) telah menggerakkan misi bantuan banjir yang telah menyampaikan sumbangan di Kampung Bertang, di sini kelmarin.

Kehadiran diketuai sendiri Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia, Dr ‘Uyun Abd Malek dan Exco Muslim Care Malaysia, Zuriati Ya’akob bersama anggota jawatankuasa lainnya.

Kunjungan rombongan menyampaikan barangan keperluan asas kepada penduduk setempat ini bertujuan meringankan beban mereka setelah terjejas akibat banjir yang turut melanda lapan daerah lain negeri ini.

- Advertisement -

Berikutan hujan lebat menyebabkan banjir ini, para penduduk telah terpisah kepada dua kumpulan di mana yang tinggal di kawasan rendah telah dinaiki air mendadak hingga terpaksa berpindah menumpang di rumah jiran berkedudukan di lokasi tinggi.

Mangsa banjir dalam kalangan penduduk sendiri menyuarakan bahawa kejadian kali ini merupakan yang terbesar berbanding pernah dialami pada tahun 2014 di mana banyak harta benda dan keperluan musnah sekelip mata.

“Saat Allah menguji dengan banjir ini, begitu jelas di mata betapa besarnya erti ‘ithar’. Melihat sahabat-sahabat yang sentiasa memikirkan keselamatan dan kebajikan sahabat yang lain terlebih dahulu.

“Sedangkan diri sendiri pun turut diuji. Semoga kita sentiasa terus saling mendoakan dan terus istiqamah dalam usaha kebajikan ini,” ujar Dr ‘Uyun.

Anggota rombongan sendiri menempuh cabaran dan risiko meredah laluan telah ditenggelami banjir ke kampung ini yang memakan masa hampir satu jam sebelum dapat bertemu para mangsa terbabit.

Dr ‘Uyun juga menyeru para dermawan untuk sama-sama menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 5640 2540 0533 atas nama Parti Islam Se-Malaysia.HARAKAHDAILY 6/1/2021

- Advertisement -