
PENGKALAN CHEPA: PAS tidak mengambil mudah berhadapan dengan pihak lawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 biarpun sekarang sudah menjalin kerjasama bersama Umno dan Bersatu.
Naib Presidennya Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, PAS tidak pernah mengambil mudah berhubung perkara itu memandangkan Pakatan Harapan (PH) masih ada.
“Cuma dari segi cabaran yang berbeza sebab dahulu kita berlawan dengan Umno sekarang sudah duduk bersama.
“Tetapi kita tidak pernah menganggap tiada cabaran dalam pilihan raya memandangkan PH masih wujud, malah mungkin mereka lebih agresif berbanding sebelumnya,” katanya ketika ditemui sempena program ziarah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor di sini, semalam.
Pada proram itu, sebanyak 11 rumah dikunjunginya untuk bertemu mata dengan penduduk terutamanya yang sakit dan ahli keluarga yang meninggal dunia.
Turut serta dalam lawatan itu Skuad Kito Cakna (SKC) DUN tersebut di samping penghulu-penghulu mukim.
Mohd Amar juga berkata, PAS Kelantan sudah mempersiapkan jentera pilihan raya di semua peringkat walaupun tidak diketahui tarikh pilihan raya akan diadakan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar menjangka PRU15 akan diadakan pada awal tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 18/12/2020




















