
PASIR PUTEH: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memanfaatkan wang zakat dan baitulmal hampir RM22 juta bagi membantu golongan asnaf di Kelantan.
Mereka yang menerima manfaat tersebut merupakan golongan yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 yang bermula Mac lalu seiring dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak empat fasa bantuan disalur kepada hampir 20,000 penerima.
“Pelaksanaan fasa keempat yang bermula hari ini (semalam) melibatkan sumbangan sebanyak RM46,000 khusus kepada 82 keluarga yang masih dalam tempoh kuarantin bagi Kluster Huma.
“Senarai penerima diperoleh daripada Jawatankuasa Bencana Jajahan dan setiap keluarga menerima wang tunai sebanyak RM500 selain bekalan bungkusan makan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengurniaan Sumbangan kepada PKPD Kluster Huma di Desa Alam Shah, Kampung Jenarah di sini, semalam.
Sebelum itu, beliau diberi taklimat berhubung keadaan terkini di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Pengerusi Jawatankuasa Bencana Jajahan Pasir Puteh, Ab. Pattah Hasbullah dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Zawiyah Dollah.
Pada majlis itu Tengku Temenggong menyerah sumbangan terbabit kepada Ab. Pattah yang juga Ketua Jajahan Pasir Puteh untuk diagihkan kepada penduduk yang terlibat. – HARAKAHDAILY 18/12/2020











