
DI PULAU Pinang, ada binaan masjid yang diarah untuk diruntuhkan oleh pihak berkuasa agama negeri, kerana pembinaannya tidak mengikut undang-undang berkaitan wakaf. Ketika itu saya masih berada di dalam Jawatankuasa Fatwa Negeri P.Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri P.Pinang.
Semua perubahan struktur masjid mestilah mendapat kebenaran Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri, walaupun hanya perubahan struktur kecil, tetap perlu dapat kebenaran. Ada kes binaan masjid yang dirobohkan kerana terlibat dengan projek pembesaran jalan raya. Keseluruhan masjid itu terpaksa dirobohkan dan dialihkan sedikit ke tepi.
Jalan, semua orang guna. Melayu, India, Cina, Siam, semua guna jalan itu. Tetapi masjid, hanya orang Islam sahaja yang guna. Orang yang guna jalan itu tak semua guna masjid. Sepatutnya orang-orang yang guna masjid itu bangun bantah. Tak munasabah orang-orang lain yang ‘tak guna masjid’ itu menyebabkan masjid itu terpaksa dialih.
Tetapi mereka tak bantah kerana mereka faham dan akur bahawa kepentingan awam lebih utama daripada kepentingan kumpulan atau kelompok tertentu. Mereka faham bahawa ini ialah isu undang-undang, isu hukum dan isu keutamaan kegunaan (awlawiyat dan dhoruriyat).
Dalam kes perobohan binaan kuil di Kuala Kedah, notis untuk memindahkan binaan kuil itu telah diberi awal. Notis pertama pada 2 Disember 2019, notis kedua pada 29 Julai 2020. Ada banyak masa dan ruang budi bicara yang telah diberi.
Walaupun tindakan boleh terus diambil jika ada pihak yang didapati melanggar undang-undang, namun ruang budi bicara masih tetap ada. Budi bicara ini perlu menjadi pilihan pertama pihak-pihak yang melaksanakan undang-undang. Namun jika budi bicara ini tidak dihormati, tindakan penguatkuasaan tetap perlu dilaksanakan supaya undang-undang ini ada kedaulatannya.
Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) berkuatkuasa ke atas semua struktur, binaan dan hadangan yang tidak diluluskan, termasuk masjid, surau dan Rumah Ibadat Bukan-Islam (RIBI).
Terima kasih atas sikap matang Presiden MIC seperti yang dilaporkan portal berita Malaysia Gazzete. Berbincang dan sama-sama bertindak menyelesaikan. Bukannya berdegil dan menyerabutkan lagi keadaan yang sedia serabut.
Isu perobohan binaan kuil bukan isu agama, bukan isu perkauman. Ia hanya isu penguatkuasaan undang-undang. Undang-undang yang ada adalah untuk mengawal dan memberi hak kepada yang berhak.
Pemimpin perlu mendorong pengikut supaya patuh undang-undang. Bukan ikut kehendak pengikut untuk langgar undang-undang. Ini yang berulang kali disebut oleh MB Kedah. Jika undang-undang itu didapati longgar, tidak adil atau berat sebelah, duduk bincang dan ubah undang-undang itu. Jangan pula ubah kawan menjadi lawan.
“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”
AFNAN HAMIMI
Wisma Darul Aman – HARAKAHDAILY 7/12/2020




















