KAHERAH: Tentera Israel meningkatkan pengeboman di seluruh Semenanjung Gaza dan mengarahkan lebih banyak pemindahan, mewujudkan gelombang baharu perpindahan dari utara Gaza.
Pegawai Kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang menempatkan keluarga pelarian di kem pelarian Shati di Bandar Gaza.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan pusat arahan Hamas di kawasan yang sebelum ini berfungsi sebagai sekolah yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rejim Zionis juga mendakwa Hamas mengeksploitasi kemudahan awam untuk tujuan ketenteraan yang Hamas nafikan.
Ketika kereta kebal Israel mara ke Beit Lahiya, sebulan selepas serangan baru di utara Gaza, berpuluh-puluh keluarga berpindah keluar. Mereka tiba di sekolah dan pusat perlindungan lain di kota Gaza dengan membawa apa sahaja barangan dan makanan yang boleh dibawa.
Dron berlegar dengan pengumuman mengarahkan pemindahan, yang juga dilakukan di media sosial, selain rakaman suara dan mesej teks yang dihantar ke telefon penduduk, kata seorang lelaki yang kehilangan rumahnya.
“Selepas Israel memaksa penduduk Jabalia berpindah, mereka kini mengebom di mana-mana, membunuh orang di jalan raya dan dalam rumah mereka untuk memaksa semua orang keluar,” lelaki itu memberitahu Reuters melalui aplikasi chat, hanya memberikan satu nama, Ahmed, kerana bimbang identitinya diketahui.
Pegawai Palestin berkata, Israel sedang melaksanakan rancangan “pembersihan etnik”. Penduduk berkata, tiada bantuan masuk ke Jabalia, Beit Lahiya atau Beit Hanoun sejak operasi bermula pada 5 Oktober lalu.
Tentera Israel mendakwa sedang membersihkan Jabalia dan mula membersihkan Beit Lahiya berdekatan pada Rabu lalu untuk menghadapi pejuang Hamas yang dikatakan kini bersatu semula di sana.
Israel menafikan laporan akhbar bahawa penduduk yang dipindahkan dari utara Gaza tidak akan dibenarkan pulang dan berkata ia terus membenarkan bantuan ke utara Gaza dan kawasan Jabalia yang tentera Isarel terlibat dalam “pertempuran sengit”. – REUTERS – HARAKAHDAILY 8/11/2024