BEIRUT: Pengganas tentera rejim Zionis Israel mendakwa bahawa pihaknya telah membunuh Hashem Safieddine, individu yang dikatakan bakal menggantikan bekas Setiausaha Agung Hizbullah, Allahyarham Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan Zionis Israel di pinggir bandar selatan Beirut tiga minggu lalu.
“Kini boleh disahkan bahawa dalam serangan kira-kira tiga minggu lalu, Ketua Majlis Eksekutif Hizbullah, Hashem Safieddine dan Ketua Direktorat Perisikan Hizbullah, Ali Hussein Hazima terbunuh bersama-sama dengan komander Hizbullah yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kumpulan pejuang Hizbullah bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan, lapor Al Arabiya.
Pada 8 Oktober lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata bahawa tentera telah ‘mengeluarkan’ Safieddine, tanpa menamakan beliau secara khusus.
Dalam ucapan kepada rakyat Lubnan, Netanyahu berkata tentera Israel telah mengusir beribu-ribu pengganas, termasuk Hassan Nasrallah sendiri dan pengganti Nasrallah, dan penggantian kepada penggantinya.
Pada lewat Selasa semalam, tentera Israel mengeluarkan kenyataan bahawa tentera udara Israel telah menjalankan serangan tepat berdasarkan perisikan ke atas ibu pejabat perisikan utama Hizbullah di pinggir bandar selatan Beirut di Dahiyeh, kubu kuat Hizbullah di ibu negara Lubnan tiga minggu lalu.
Kenyataan itu menambah bahawa lebih 25 pejuang Hizbullah hadir di ibu pejabat semasa serangan itu berlaku, termasuk Bilal Saib Aish, yang bertanggungjawab ke atas pengumpulan risikan udara. -Agensi/ – HARAKAHDAILY 23/10/2024