Bumi catat suhu terpanas: Penduduk Mesir ‘berendam’

Penduduk Mesir membanjiri tepian Laut Mediterranean susulan gelombang haba panas yang melanda negara itu dan bumi. (FOTO: Xinhua)
- Advertisement -

KAHERAH: Gelombang haba yang melanda beberapa negara sehingga memecah rekod panas sebelum ini membuatkan Laut Mediterranean menjadi tumpuan penduduk Mesir untuk menyejukkan diri masing-masing dengan ‘berendam’ di kawasan berair.

Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (CCCSEU)pada Selasa berkata, bumi telah mengalami hari terpanas dalam sejarah dengan purata suhu global harian mencapai rekod tertinggi baharu pada 21 Julai lalu, lapor Xinhua.

- Advertisement -

Puncak suhu cuaca terbaharu itu yang direkodkan pada 17.09 darjah Celsius, melepasi sedikit rekod sebelumnya iaitu 17.08 darjah Celsius yang ditetapkan pada 6 Julai 2023. 

Ini menandakan suhu purata global tertinggi sejak sekurang-kurangnya tahun 1940, menurut laporan yang dikeluarkan oleh CCCSEU.

Sebelum Julai 2023, rekod suhu purata global harian sebelumnya telah ditetapkan pada 13 Ogos 2016 adalah pada 16.8 darjah Celsius. 

Menurut laporan itu lagi, dunia telah mengalami 57 hari panas melebihi rekod sebelumnya dalam tempoh 13 bulan lalu.

Sehubungan itu, 2023 telah disahkan sebagai tahun paling panas dalam rekod, dengan laporan pada Selasa itu mencadangkan bahawa 2024 berpotensi menjadi lebih panas daripada 2023, walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan dengan pasti.

Gelombang haba yang ektrem telah melanda bahagian Amerika Syarikat, Eropah dan Asia sepanjang bulan lalu, meningkatkan risiko kesihatan dan kebakaran. 

Sementara di Mesir yang lebih panas, suhu yang hampir mencecah 41 hingga 46 darjah celsius pada waktu ini telah menyebabkan penduduk di negara itu  memilih untuk menyejukkan badan di tepi Sungai Nil atau kawasan Laut Mediterranean di Alexandria kerana di dua tempat itu adalah laut umum untuk orang ramai berkunjung.

Malah, sebilangan penduduk di kawasan itu turut memasang khemah di tebing sungai sambil meluangkan masa menikmati udara sejuk Sungai Nil di El Qanater El Khairiyah, Al Qalyubia, Mesir.

Lokasi ini menjadi pilihan penduduk untuk mengatasi cuaca panas Kaherah dan bandar-bandar besar dengan kos yang lebih rendah berbanding perjalanan ke kawasan Laut Mediterranean.

Selain itu, telah menjadi satu budaya bagi mereka semasa musim panas untuk menyejukkan dan bermandi-manda di sana bagi mengisi cuti musim panas yang kebiasaannya selama enam bulan.

Namun, warga tempatan lebih memilih Sungai Nil berbanding pergi ke Laut Queensland kerana tambang untuk pergi ke Alexandria atau laut, serta  pantai lain sangat mahal dan perlu mengambil perjalanan kereta api yang memakan tempoh masa lama. – HARAKAHDAILY 24/7/2024